RM 6 bilion kerajaan Mad Said belanja dalam masa tiga tahun

KUALA TERENGGANU  - PAS mendakwa dalam tempoh tiga tahun terakhir kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said telah meluluskan belanjawan negeri melebihi RM6 bilion.

Bahkan, setiap tahun kerajaan negeri terpaksa memohon peruntukan tambahan bagi menampung keperluan bajet tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi turut melahirkan rasa kebimbangan jika kerajaan negeri berterusan menanggung defisit.


“Dalam tempoh tiga tahun terakhir dibawah pentadbiran Y.A.B Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dewan ini telah meluluskan lebih RM6 bilion ringgit.

“Saya bimbang sekiranya amalan (tambahan) ini diteruskan negeri ini akan terus menanggung bajet defisit dan bukan lagi bajet yang berimbang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2011 Perbelanjaan 2011, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedua Penggal Keempat, di Wisma Darul Iman, 22 Ogos lalu.

Persoalannya, kata Dr Syed Azman apakah ianya menjadi keperluan apabila pengurusan dan pembangunan yang tidak mampan serta tidak cukup untuk ‘bergelar’ sebagai pengurus kewangan yang baik.

Menurutnya, dalam pembentangan bajet 2011 yang lalu kerajaan negeri telah meluluskan belanjawan hampir RM2 bilion ringgit.

“Saya juga pernah mempersoalkan, apakah ini satu bajet yang bijak, bajet yang bertanggungjawab dan saya juga telah pun menyebut dan menjangka akan ada lagi perbelanjaan tambahan yang akan dibawa ke dewan ini untuk mendapatkan bajet tambahan ini.

“Persoalan yang besar dan perlu diberi perhatian dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan di negeri Terengganu ini yang membenarkan perbelanjaan tambahan.

“Saya lihat unjuran yang dibuat tidak menepati keperluan ekonomi semasa yang mungkin mendesak atau perbelanjaan diluar jangkaan. Dewan telah mengambilkira perbelanjaan diluar jangkaan juga lebih RM150 juta dalam bajet 2010 yang lalu,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu menjelaskan kedudukan rezab simpanan negeri.

Apakah, katanya berlaku peningkatan atau penguncupan serta berapa peratus yang telah diperuntukan setiap tahun.

“Saya juga ingin tahu bahawa keperluan (tambahan bajet) yang kita (kerajaan) bawa ini telah pun dikaji dan diteliti secara mendalam. Kerana kebimbangan saya mengenai ‘trend’ rezab atau simpanan kerajaan negeri sendiri.

“Apakah ia (rezab) meningkat atau menguncup. Sekiranya, pendapatan negeri bertambah. Berapa peratuskah yang diperuntukan untuk dimasukkan dalam rezab atau simpanan,” soalnya.

Namun begitu, katanya jika peruntukan luar jangka ini diurus dengan berhemah dan tidak berlaku pembaziran dewan (Dun) tidak perlu peruntukan perbelanjaan tambahan yang pada hari ini mencecah lebih RM150 juta.

Ulasan