Surau al-Huda di pejabat PAS Terengganu akan menjadi tumpuan

 KUALA TERENGGANU – Selain akan menjadi musolla bagi solat zohor dan Asr’ berjemaah, surau al-Huda yang terletak disisi kanan pejabat perhubungan PAS Terengganu akan menjadi tumpuan sepeanjang Ramadhan 1432.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, tazkirah Ramadhan akan disampaikan oleh para ustaz terpilih, pada setiap selepas solat zohor berjemaah.

“kita akan mengambil pendekatan seringkas mungkin bagi menyampaikan pesanan dan ilmu sepanjang bulan Ramadhan,

“dan waktu selepas zohor biasanya dihabiskan untuk makan tengah hari, boleh dimanfaatkan sepanjang Ramadhan,”ujarnya ketika ditemui.


Katanya, Jawatankuasa Surau al-Huda juga telah memutuskan, akan mengedarkan bubur lambuk secara percuma sepanjang Ramdhan pada setiap hari Isnin dan hari Rabu.

Justeru, beliau menyeru kepada semua muhsinin yang ingin memberikan sumbangan agar dapat menghubungi beliau bagi menjayakan program-program yang sedang diatur.

Khamis lalu, 28 Julai, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pembinaan surau al-Huda disifatkan sebagai pelengkap kepada sebahagian dari sifat kumpulan Islam yang dituntut, iaitu mendirikan surau, musollah atau masjid.

“Surau dalam bahasa Melayu atau Musolla dalam bahasa kampung orang Arab dan masjid mengikut bahasa al-Quran Karim. Dari segi bahasa al-Quran tempat sembahyang adalah masjid.

“Merupakan tempat untuk kita melakukan tugas yang lebih bagi orang Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Iaitu kita menghadap (sembahyang) Allah Ta’ala dan berhubung secara langsung dengan Allah SWT.

“Ianya mengikatkan kita secara rasmi dengan Allah SWT. Ini bukan sahaja menjadi rukun Islam bahkan, menjadi sifat bagi orang Islam dan sifat kumpulan Islam, sifat bagi negara Islam,” tegasnya ketika berucap merasmikan Surau tersebut.

Katanya, tujuan memakmurkan masjid dan mendirikan sembahyang sebagai penghubung dengan Allah SWT.

Menurutnya, segala langkah yang diambil dalam menjalani kehidupan sama ada ketika waktu bekerja, berehat, tidur dan jaga diberkati oleh Allah Ta’ala.

Beliau yang juga Penasihat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyifatkan betapa pentingnya hubungan dengan Tuhan sehingga mendirikan masjid menjadi projek pertama selepas pengucap dua kalimah syahadah.

“Betapa pentingnya hubungan dengan Tuhan sehingga projek mendirikan masjid, tempat beribadat merupakan projek yang pertama. Yang dilakukan oleh Nabi kita Muhamad SAW ketika berhijrah ke Madinah.

“Projek pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhamad SAW adalah mendirikan Masjid di Madinah dan  selepas itu projek Pasar di Manidah,” ujarnya.   

Katanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “ Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid tempat ibadat mengadap Allah ialah sesiapa yang beriman, yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Dan tidak takut melainkan kepada Allah. Maka, mudah-mudahan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk dari Allah SWT”.

Menurutnya, perkara penting yang dipohon dalam setiap rakaat sembahyang iaitu “tunjukkanlah kami ke jalan yang betul”.

“Sesungguhnya sembahyang aku, ibadat aku, hidup aku dan mati aku semata-mata kerana Allah SWT dan tidak ada sekutu baginya dan aku termasuk di kalangan orang bukan Islam”.

“Perkara penting yang kita pohon dengan Tuhan apabila kita mendirikan sembahyang iaitu “tunjukkanlah kami ke jalan yang betul”. Itu permintakan yang penting pada tiap-tiap rakaat sembahyang.

“Perkara inilah yang sangat mencabar selepas kita menjalani hidup di luar dari sembahyang kerana terlalu banyak jalan-jalan dan liku-liku hidup,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, Tiga orang Timbalan PJ Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Muhyidin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak serta Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali.

Ulasan