Umno khianat tanah rakyat

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri diminta penjelasan berkaitan tanah rakyat yang terlibat dengan projek pembinaan Istana baru di Chendering, Kuala Terengganu.

Ini kerana, kes pengambilan tanah rakyat itu dibuat tanpa pengetahuan rakyat hingga terpaksa dibawa ke mahkamah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa sejak mutakhir ini isu tanah yang melibatkan rakyat dan kerajaan menjadi semakin ‘menjadi-jadi’.

[Gambar - Haji Wahid ketika berucap dalam sidang DUN 22 Ogos ]

Menurutnya, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang lalu telah dibangkitkan mengenai isu tanah rakyat yang berhampiran dengan projek Istana baru di Chendering.

“Saya hendak sebut kes yang pernah disebut pada persidangan Dun ini yang lalu iaitu tanah rakyat yang berhampiran dengan projek Istana (baru) itu di Chendering.

“Sejauh manakah penyelesaian dibuat kerana melibatkan tanah rakyat. Dan tanah itu berpindah milik tanpa pengetahuan rakyat, tanpa dipanggil untuk dibicara untuk tujuan pengambilan balik tanah dan sehingga kes itu dibawa ke mahkamah.

“Akhir-akhir ini isu tanah ini menjadi semakin ‘menjadi-jadi’(berulang),” ujarnya ketika berucap membahaskan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2011 Perbelanjaan 2011, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedua Penggal Keempat, di Wisma Darul Iman, 22 Ogos lalu.

Ini kerana, katanya persoalan isu tanah sering kali dibawa ke dewan bagi menuntut penjelasan dan pembelaan kepada rakyat.

Menurut beliau, beberapa isu tanah melibatkan rakyat pernah diketengahkan dalam persidangan Dun Terengganu yang lalu.

“Saya pernah sebut sebelum daripada ini isu pembinaan sekolah, isu pembinaan loji di Kampung Gaung dan isu pembinaan jalan di Kampung Banggol Donas yang melibatkan rakyat.

“Tetapi yang terakhir ini ada juga tanah yang telah dibuat laporan polis iaitu berkaitan tanah pindah milik kepada North East Plantation (NEP) oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Tanah NEP ini pertama, ada ‘kaveat’ dan yang keduanya, dalam proses pengambilan balik oleh kerajaan melalui Warta Kerajaan nombor 635 bertarikh 27 Mei 2010 tetapi ‘sedar-sedarnya’ pada 9 Jun 2011 berlaku pindah milik,” ujarnya.

Persoalannya, kata Abdul Wahid bolehkah pindah milik dilakukan dalam keadaan pengambilan balik tanah telah diwartakan serta belum selesai kes ‘kaveat’.

Persidangan Dun Terengganu berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Ogos 2011 yang bertujuan menuntut penambahan bajet sebanyak RM155,543,600.00 diluluskan kali ini.

Ulasan