Hapus ISA; 'buah' dari tuntutan PAS sekian lama

KUALA TERENGGANU - Perkembangan dunia semasa masakini telah menampakkan beberapa siri pembebasan kepada rakyat terutamanya di Timur Tengah.

Selari dengan arus itu, beberapa tuntutan terhadap hak-hak rakyat di negara kita yag diperjuangkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat telah berjaya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana undang-undang zalim ISA telah dihapuskan.

"Tuntutan rakyat telah berjaya, kita bersyukur (tapi) tak mahu terima kasihlah, kita bersyukur kerana ISA dihapuskan dan beberapa ordinance yang lain (Akta Buang Negeri),"ujarnya ketika memberi komen berhubung hasrat kerajaan mahu menghapuskan beberapa akta berkaitan.

Beliau berharap pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak itu akan diikuti dengan penghapusan undang-undang dasar lain yang 'mencengkam' rakyat.

Ustaz Abu Bakar yang pernah ditahan ISA pada tahun 1980-an berkata, semua pihak termasuk rakyat dan kerajaan mestilah menyedari hakikat bahawa hak-hak rakyat dan hak-hak asasi manusia mestilah diraikan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Beliau menerima pengumuman kerajaan itu untuk kebaikan, namun meminta seluruh rakyat berhati-hati.

Menurut beliau, dengan tunduknya Najib kepada dasar-dasar kebajikan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat itu, memberi isyarat bahawa pilihanraya umum ke-13 adalah semakin hampir.

"Ya....(pengumuman Najib itu) kalau ikut istilah orang Terengganu, itu 'buah gharib' (usaha terakhir menjelang pilihanraya),"kata Ustaz Abu Bakar yang juga anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Oleh itu, beliau menyeru dan berpesan supaya rakyat tidak terkeliru dengan percaturan politik yang sedang berlaku dalam negara ini.

Beliau turut bersetuju, tujuan Najib mengumumkan penghapusan ISA itu adalah untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umkno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kerajaan mempunyai peraturan-peraturan didalam menghapuskan undang-undang bukan macam beri 'hadiah' 

"Memang...memang tujuan itu begitu (untuk menagih sokongan), kalau nak hapuskan (undang-undang) secara sistematik, bukan macam yang di umumkan sekarang,

"sekarang macam satu 'hadiah' sebuah kerajaan,"jelasnya.

Beliau menegaskan, PAS telah lama menuntut penghapusan ISA dan pengumuman yang dibuat kerajaan itu adalah buah dari tuntan PAS dan tuntutan rakyat.

>>> Dengar rakaman respon Ustaz Abu Bakar Chik tentang penghapusan ISA di Buletinonline Radio

Ulasan