Percepatkan bantuan kepada mangsa ribut







- tenaga kerja Unit Amal PAS sedia membantu
Oleh : Mohd Tishaah Hamzah

KEMAMAN - Sebanyak 60 buah rumah di FELDA Kerteh 6 dan 100 buah di FELDA Kerteh 6 rosak
akibat dilanda ribut Sabtu 17 September, melebihi angka anggaran awal mangsa musibah tersebut.

Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan (MTD) Kemasik, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui.

Beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kemaman 'turun padang' dan meluangkan masa hampir setengah hari meninjau dan menziarahi rumah mangsa angin kuat tersebut.

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan oleh Pengurus FELDA Kerteh 5, Haji Ariffin, pengurusan FELDA ada mengambil insuran bencana bagi menampung ganti rugi yang dialami oleh para peneroka.

"Saya dimaklumkan oleh Pengurus FELDA Kerteh 5 bahawa Pengurusan FELDA ada mengambil insuran bencana dan kesemua kerosakan akan diperbaiki melalui pihak insuran,

"saya harap semua pihak yang terlibat dapat membuat laporan untuk memudahkan bantuan disalurkan,"ujarnya.

Oleh itu, beliau mengharapkan pihak Pengurusan FELDA dapat mempercepatkan tindakan untuk mengurangkan tekanan dan kesusahan yang dihadapi mangsa.

Menurutnya, PAS menyediakan khidmat sukarela tenaga kerja dari Unit Amal kepada para peneroka yang perlukan bantuan.

Turut mengiringi ialah Ketua Penerangan PAS DUN Kemasik, Mohd Tishaah Hamzah dan diiringi oleh Setiausaha PAS Cawangan FELDA Kerteh 5, Rosman Rani yang membawa rombongan PAS DUN Kemasik menemui mangsa angin kuat tersebut.

(Gambar - kanan : Ustaz Alias sedang meninjau dari dekat salah sebuah kereta yang rosak akibat angin kuat petang semalam).

Dalam pada itu, seorang mangsa Omar Abdul Rahman, 46 tahun, menceritakan kejadian angin kuat berlaku.

Omar berkata, dalam tempoh 30 minit angin kuat disertai dengan hujan lebat telkah membadai rumahnya.

Namun begitu, beliau bersyukur kerana hanya mengalami kerosakan kecil dan kesemua ahli keluarganya terselamat.
Manakala Setiausaha PAS Cawangan FELDA Kerteh 5 Rosman Rani, pula berkata, beliau berada didalam rumah dan tidak sedar garaj keretanya runtuh.

"'dalam suasana yang kelam kabut itu, saya berada dalam rumah dan apabila keadaan telah reda, saya dapati garaj kereta saya telah runtuh dan menghempap kereta,

"(menyebabkan) cermin depan dan belakang pecah dan kerosakan pada bumbung, kos membaikinya dianggarkan RM15,000', katanya.

Seorang lagi mangsa anak peneroka di FELDA Kerteh 6, Ibrahim Daud menceritakan kemalangan yang turut menimpa keretanya.

Kenderaannya yang diletakkan disebelah rumah ayahnya, menurut Ibrahim, ditimpa kepingan kayu dan bumbung yang berterbangan menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kereta.

Katanya kos untuk membaikinya dianggarkan tidak kurang RM3,000.

Buletin dimaklumkan PAS DUN Kemasik akan menganjurkan solat hajat dalam masa terdekat, memohon kepada Allah agar peristiwa tersebut tidak berlaku lagi.

Seluruh warga peneroka di FELDA Kerteh 5 dan FELDA Kerteh 6 dijemput menyertainya.

Ulasan