Setelah 40 tahun KETENGAH masih bercakap soal kemiskinan!

DUNGUN - PAS mengorak langkah menubuhkan sebuah lagi NGO dibawah Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah setelah ANAK berjaya mengetengahkan isu-isu berkaitan Felda dan generasi keduanya.

WARIS, sebuah NGO ditubuhkan, dengan hasrat memperjuangkan hak rakyat dalam wilayah Lembaga-lembaga Kemajuan yang ditubuhkan melalui akta Parlimen.

NGO baru itu akan memberikan fokus kepada empat Wilayah di seluruh semenanjung iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemjuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Kesemua agensi kerajaan Pusat tersebut adalah diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wlayah

Menurut Pengerusi WARIS, Ustaz Roslan Ismail, WARIS memulakan kempennya di wilayah KETENGAH kerana agensi tersebut gagal dalam melaksanakan fungsinya, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1973.

"isunya, ialah di KETENGAH ini, saya mulakan di Terengganu ini, kita telah melihat KETENGAH telah ditubuhkan sejak tahun 1973, dan penghuni mula duduk di (wilayah) ini sejak tahun 1980,

"hari ini, penduduk dan KETENGAH masih bercakap soal kemiskinan, KETENGAH masih membangunkan rumah-rumah bagi penduduk termiskin,"ujarnya dalam sidang media disini pada Jumaat 23 September.

Menurutnya, majoriti penduduk KETENGAH masih lagi dibawah tahap kemiskinan dengan pendapatan dibawah RM450 sebulan.

Katanya, keadaan tersebut adalah disebabkan oleh kepimpinan KETENGAH terutamanya kepimpinan politik.

"Ini berpunca daripada apa yang kita namakan sebagai 'kelalaian' pimpinan, terutama sekali kepimpinan politik sebab KETENGAH ini diketuai oleh Pengerusinya Menteri Besar Terengganu sendiri,"jelasnya.

Sepatutnya, menurut Roslan yang juga Bendahari PAS Dungun, kawasan KETENGAH yang meliputi sebahagian besar daerah Dungun dan Hulu Terengganu itu telah ditadbir dengan baik.

Malangnya, kata beliau, setelah 40 tahun, ia masih terbiar dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada penduduk, apabila ekonomi tidak dibangunkan secara mapan.

Beliau berkata, penduduk kehilangan sumber pendapatan apabila banyak kilang-kilang yang dibuka kini telah ditutup.

"Penduduk yang berjumlah hampir 70,000 orang ini, mencatat angka migrasi yang sungguh pelik (luar biasa) mereka (terpaksa) pindah ke bandar-bandar berhampiran untuk mencari makan (rezeki),

"kadar migrasi buruh harian amat tinggi,"tegas Roslan.

Akibatnya, menurut beliau, penduduk yang tinggal dalam Bandar Al-Muktafi Billah Shah tidak mampu menggerakkan ekonomi.

Selain masalah ekonomi, menurutnya, pemilikan tanah penduduk juga tidak sempurna kerana KETENGAH tidak mempunyai kuasa sepenuhnya membangunkan tanah.

"isu pemilikan tanah menjadi isu besar, tanah disini tidak sempurna milik, KETENGAH tidak mempunyai kuasa (sepenuhnya) untuk membangunkan tanah kerana tanah adalah (dibawah bidang) kuasa kerejaan negeri,

"dalam masa yang sama (sebaliknya) kerajaan negeri tidak memberi perhatian yang berat kepada kawasan ini, kerana mengharapkan KETENGAH boleh mebangunkan tempat-tempat ini,"ujarnya.

Justeru kata beliau, penduduk di wilayah tersebut menghadapi masalah penempatan dan masalah pekerjaan yang mengakibatkan wujudnya masalah sosial yang lain umpamanya masalah akhlak dan moral.

Turut hadir dalam sidang media penubuhan WARIS itu adalah Naib Presiden PAS yang juga Anggota Parlimen kubang Kerian, Salehuddin Ayob dan Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah Mazlan Aliman

Ulasan