Kaum Tionghua Kemaman semakin rapat dengan PAS

KEMAMAN - Menjelang Pilihanraya Umum ke-13, kaum Tionghua di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kemaman semakin merapatkan diri dengan PAS.

Perubahan tersebut sangat ketara jika dibandingkan dngan sokongan kaum tersebut kepada PAS sebelum Pilihanraya Umum ke-12, Mac 2008.

Kalau dulu, mereka begitu takut mendengar 'nama' PAS, sebaliknya kini mereka sudah biasa menghadirkan diri dalam program-program anjuran PAS.


Suasana tersebut dapat dilihat pada Majlis Sumbangan Bantuan kepada warga emas dan golongan kurang berkemampuan untuk kaum Tionghua di bandar Chukai pada Rabu 23 November.

Seramai 120 orang hadirin pada majlis tersebut tidak berasa janggal mendengar ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Haji Hanafiah Mat.

Malah mereka bertepuk tangan menandakan sokongan.

"Hari ini saya datang untuk berkenal-kenal dengan kamu semua (orang Tionghua), mahu berkawan dengan kamu semua, boleh atau tidak,"tanya Haji Hanafiah dalam mukaddimah ucapannya, disahut dengan jawapan 'ya' berserta tepukan bergemuruh.

Menurut Haji Hanafiah, kerajaan PAS yang memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004 lebih baik berbanding kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, PAS tidak mengutip cukai pintu rumah kediaman kepada penduduk bandar, sedangkan Umno dan BN, bukan sahaja mengutip segala Chukai, bahkan membazirkan wang rakyat.

Beliau berkata, malah tanah yang diberikan oleh kerajaan PAS untuk mendirikan rumah mayat warga Tionghua di bandar itu, telah dirampas oleh BN apabila kembali memerintah pada tahun 2004.

Ulasan