Kerosakan ITC; Ahmad Said 'cakap kosong'


KUALA TERENGGANU - Bangunan ITC (International Training Centre) di Telok Kalong, di sini, adalah satu contoh pembaziran nyata oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Bangunan yang dibina dengan perbelanjaan kerajaan negeri Terengganu masih mengalami masalah, dan tidak dapat digunakan sepenuhnya, walaupun dilaporkan telah siap pada tahun 2008.


Tujuan asal pembinaan ITC semasa era bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh berkuasa adalah untuk tujuan menjadi pusat latihan antarabangsa yang bertaraf dunia.

Namun, menurut laporan Ketua Audit Negara 2010, Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan bangunan asrama ITC kepada TATI bagi tujuan penempatan pelajarnya

Bangunan asrama tersebut mempunyai 136 bilik yang boleh digunakan untuk menempatkan seramai 200 orang pelajar.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 101 bilik telah digunakan manakala 35 bilik yang lain masih belum digunakan kerana mengalami kerosakan.

Menurut laporan itu lagi, kerosakan tersebut telah berlaku sebelum TATI menempatkan pelajar di bangunan berkenaan.

Antara kerosakan mendapati berlaku lelehan air yang disebabkan masalah water proofing, suis yang rosak di dalam bilik dan takungan air di beranda tingkat 7 bangunan asrama kerana saluran air tersumbat.

Pada 14 November 2009, ITC yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu, runtuh satu bahagian yang dipercayai sebagai penghadang alat pendingin ataupun balkoni di tingkat lapan bangunannnya.

Sebelum itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengumumkan Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) diserahkan untuk menjadi fakulti baru TATI.

Oleh itu, berdasarkan laporan Ketua Audit yang sama pengumuman Ahmad adalah sebenarnya 'cakap kosong' semata-mata.

Ketika melawat pusat tersebut pada 16 Jun lalu, Ahmad berkata ia perlu diteliti semula kerana terdapat kecacatan yang jelas terutama pada kayu penyokong bumbung serta beberapa bahagian lain.

“Setelah diteliti terdapat 200 hingga 300 item yang perlu diperbaiki semula.atau ditukar kerana tidak mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya

Ulasan