09 Disember 2011

‘Dana khas’ Terengganu sejak 2005 berjumlah RM11 bilion?


KUALA TERENGGANU - Dewan didedahkan bahawa kerajaan negeri Terengganu telah memperolehi pemberian wang tunai ‘Dana Khas’ dari kerajaan persekutuan berjumlah RM10,658,677,81 iaitu hampir RM11 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut melahirkan rasa dukacita kerana masih banyak isu antara kerajaan negeri dengan pusat yang belum selesai.

Katanya, jawapan di Parlimen mengenai pemberian wang tunai dana khas oleh kerajaan persekutuan dari tahun 2005 hingga September 2011 berjumlah RM10, 658, 677, 81.


“Tahun 2005 dapat RM1.099 bilion, tahun 2006 (RM1.996 bilion), tahun 2007 (RM1.369 bilion), tahun 2008 (RM1.6 bilion), tahun 2009 (RM1.394 bilion), tahun 2010 (RM1.6 bilion) dan tahun 2011 (RM1.6 bilion) sehingga September, lalu.

“Isu royalti ini masih belum selesai. Sebenarnya, masih banyak isu di negeri Terengganu ini antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang tidak selesai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan (Bajet) 2012 pada Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman, Rabu, 7 Disember.

Kata Abdul Wahid, dengan angka pendapatan tunai berjumlah hampir RM11 bilion itu pun negeri Terengganu masih defisit kewangannya.

Ini kerana, katanya banyak isu seperti bumbung stadium runtuh serta perbelanjaan yang tidak bermanfaat dan dianggap rugi berlaku di Terengganu.

Menurutnya, pembelian stesyen Radio ManisFM oleh kerajaan negeri Terengganu berharga RM9 juta juga dipertikaikan.

“Saya tertanya-tanya macam kebanyakkan rakyat kerana tidak ada kerajaan negeri yang ada stesyen radia melainkan Terengganu.

“Biasanya, kerajaan pusat atau swasta. Nilaian RM9 juta dan kita pun tidak tahu sejauh mana perolehan pendapatnya. Apa rasionalnya kita (Terengganu) beli stesyen radio itu,” ujarnya.

Selain itu, katanya Isu pembinaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang bernilai RM882.17 juta juga menuntut penjelasan kerajaan negeri.

Menurutnya, angka yang diberikan oleh kerajaan negeri sebanyak RM660 juta yang melibatkan bangunan RM130 juta dan landasan RM530 juta.
Namun begitu, katanya jawapan di Parlimen angka yang diberikan bagi projek naik taraf LTSM Kuala Terengganu bernilai RM882.17 juta.

“Saya hendak tahu kes yang belum selesai berapa dari RM882.17 juta itu yang asalnya kita (dewan) dimaklumkan RM660 juta.

“Angka yang diberikan oleh kerajaan (negeri) kos bangunan asal bila kita buat yang baru LTSM ialah RM130 juta, landasan kerana melibatkan tambak laut RM530 juta. Jadi kosnya RM660 juta.

“Tetapi bila saya check di Parlimen angka yang diberikan wang dana khas kerajaan persekutuan yang digunakan bagi projek naik taraf lapangan terbang Kuala Terengganu (LTSM) ialah RM882.17 juta,” ujarnya.

Menurut beliau, banyak perkiraan dari segi dasarnya kerajaan negeri selalu rugi apabila hak duit berada ditangan orang lain.

Tiada ulasan:

Bertanya, Sahihkan Atau Diam

  Beberapa hari ini riuh berkenaan pembahagian bantuan kepada rakyat. Untuk isu ini, kita tumpukan perhatian bagi negeri Terengganu sahaja. ...