MARANG - Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali menyifatkan tindakan kerajaan Terengganu akan menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir sebagai silap besar serta takutkan ‘bayang-bayang’ sendiri.
Katanya, polisi baru kerajaan Umno-BN itu menjadi suatu kerugian dari sudut keilmuan yang diperolehi khususnya di Universiti al-Azhar, Mesir.
Menurut Yahaya, Ahmad juga menghina sistem pendidikan pusat pengajian negara itu yang memiliki universti al-Azhar, universiti tertua di dunia yang terkenal hebat dari sudut keilmuannya.
“Kita (PAS) rasa satu kesilapan besar dari sudut ilmu jika kerajaan Terengganu membuat keputusan menghentikan penghantaran pelajar kita ke Mesir.
“Kenapa takut dengan ‘bayang-bayang’ kononnya pelajar di Mesir terlibat dengan politik pembangkang dan tidak bersama kerajaan (Umno-BN).
“Ini bukan salah sistem (Al-Azhar) jika pelajar terlibat dengan politik tetapi pendedahan dengan aktiviti berpersatuan dan ilmu membawa kepada kebenaran dalam perjuangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said yang mengumumkan perkara tersebut pada 19 Disember lalu..
Ahmad dipetik sebagai berkata sistem pendidikan di sesetengah pusat pengajian negara itu menyebabkan ada pelajar dari negeri ini yang terkandas pengajian mereka.
"Sistem pengajian di negara itu agak 'kucar-kacir' manakala sebilangan pelajar turut terheret dalam agenda politik tertentu sehingga meminggirkan pelajaran mereka,'' katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Yayasan Terengganu (YT) kali ke-32 di Taman Tamadun Islam.
Ekoran kenyataan Ahmad, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) turut mengumumkan akan menghantar semua pelajar tajaannya ke Jordan dan tidak lagi ke Mesir, mulai tahun hadapan.
"Ini adalah dasar kerajaan dan kita kena ikutlah," kata Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman
Justeru itu, kata Yahaya kerajaan perlu membuktikan berapa ramai pelajar yang tidak lulus kerana berpolitik serta persatuan yang ditubuhkan bermotif politik.
Menurutnya, kebiasaan pelajar yang aktif di luar negara lebih cemerlang dan berjaya dari yang tidak terlibat dengan persatuan.
“Ini tidak harus berlaku dan kerajaan kena buktikan berapa ramai yang tidak lulus. Mereka (pelajar) yang aktif lebih cemerlang dari mereka yang tidak terlibat dengan persatuan,” ujarnya.
Beliau selaku Yang Dipertua PAS Marang menyarankan kerajaan tidak menyekat bantuan serta kemudahan para pelajar yang ingin belajar di Mesir.
Katanya, PAS sangat tidak bersetuju jika kerana kepentingan politik Umno-BN masa depan pelajar menjadi taruhan.
Ulasan