Hilang keyakinan kepada pemimpin; 80 ahli Umno masuk PAS


KUALA NERUS – Lapan puluh orang telah menyerahkan borang keahlian menyertai PAS di Kampung Banggol Donas Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu dekat sini semalam Jumaat, 9 Disember.

Sebahagian besar daripada jumlah tersebut iaitu kira-kira lebih 40 orang adalah bekas Pemuda dan Puteri Umno kampong tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menerima permohonan masuk PAS itu daripada bekas Ahli Jawatankuasa Bahagian Umno Kuala Nerus, Salleh Embong sempena Majlis Ceramah Isu-Isu Semasa di Markaz PAS yang baru ditubuhkan.

Salleh Embong berkata tindakan bekas ahli-ahli Umno menyertai PAS akan memberi tamparan hebat kepada Umno Kuala Nerus khususnya di Dun Teluk Pasu tersebut.

Ini kerana, katanya rakyat telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Menurutnya, selagi Umno-BN berkuasa penuh segala kepentingan rakyat terabai melainkan kroni-kroni tertentu dalam parti berkenaan.

“Kami cukup kecewa dengan kepimpinan Umno, wakil rakyat dan kerajaan BN Terengganu dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“Rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan Umno-BN yang berkuasa penuh hari ini di Terengganu yang lebih mementingan kroni-kroni tertentu dalam parti (Umno),” ujarnya.

Katanya, masalah pengambilan balik tanah di Kampung Banggol Donas yang tidak selesai menjadi punca berlaku penghijrahan beramai-ramai ahli Umno kepada PAS.

Menurutnya, projek pembinaan jalan yang melibatkan tanah serta rumah penduduk di kampung tersebut terdapat unsur salahguna kuasa.

Kata Salleh, laporan bantahan telah dibuat kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri, Kementerian Jabatan Kerja Raya, pejabat Menteri Besar Terengganu, Suhakam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hadir sama pada majlis bersejarah itu Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, M Sukrimun Shamsuddin, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Naib YDP Kuala Nerus, Ustaz Ismail Mamat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim dan Setiausaha Pas Kuala Nerus, Zakaria Dagang.

Ulasan