Rakan Khidmat - 'Khidmat untuk Semua' dilancarkan

Oleh : Mohd Tishaah Hamzah
KUALA TERENGGANU - Lujnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah mengadakan majlis perlancaran 'Rakan Khidmat' - Khidmat Untuk Semua, pada petang Jumaat 2 November di Masjid Pengadang Baru, di sini.

Pelancaran baan sukarelawan terbaru PAS Terengganu tersebut telah disempurnakan oleh Presiden PAS YB Dato Seri' Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dengan dihadiri oleh seramai 1,200 anggota dari seluruh negeri.


Turut bersama pada majlis yang julung kalinya diadakan di Peringkat Negeri Terengganu ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali dan Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Cikgu Haji Hussin Ismail.

Pada majlis tersebut, Ustaz Abdul Hadi yang juga merupakan Penasihat PAS Negeri Terengganu telah menyerahkan Watikah Perlaksanaan (gambar) kepada semua Ketua Lujnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Kawasan - Kawasan sebagai akujanji untuk meneruskan gerak kerja seterusnya di peringkat PAS Kawasan masing - masing.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut menegaskan perlancaran Rakan Khidmat - Khidmat Untuk Semua ini adalah kesinambungan dari salah satu manifesto PAS yang akan ditawarkan kepada seluruh rakyat Terengganu untuk PRU Ke-13 nanti iaitu Membangun Negara Berkebajikan.

Acara simbolik penyerahan balang gas memasak kepada wakil - wakil lujnah dari PAS Kawasan - Kawasan juga telah disampaikan oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS sendiri.

Ulasan