'Buah tangan PAS' raikan kaum Cina DUN Ladang


KUALA TERENGGANU - Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ladang menyedia lebih 200 bungkusan limau mandarin dan angpau yang diagihkan kepada masyarakat Tionghua di Kampung Tanjung, Kampung Ladang serta sekitarnya.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar ditemani Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing bagi mengagihkan ‘buah’ tangan tersebut.

Dato’ Tengku Hassan berkata Pilihan Raya Umum (PRU) masih menjadi teka-teki di kalangan rakyat serta pemimpin parti-parti politik.

Katanya, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga kini masih tidak yakin dengan sokongan rakyat yang tidak memihak kepada BN.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya dan ianya (PRU ke-13) hingga kini menjadi teka-teki bukan sahaja kepada rakyat tetapi pemimpin parti-parti politik dalam negara.

“Mereka (Umno) sebenar tidak yakin dengan sokongan rakyat yang tidak lagi memihak kepada kerajaan (BN),” ujarnya kepada Harakah.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan program Temu Mesra Sempena Tahun Baru Cina 2012 dari rumah ke rumah di Dun Ladang.

Menurutnya, sokongan masyarakat Tionghua semakin baik dan bertambah baik terhadap PAS dan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Ini, katanya berdasarkan sambutan dan kemesraan yang ditunjukkan dalam siri lawatan PAS mengagihkan limau serta angpau.

Menurutnya, rakyat lebih menyakini PAS-Pakatan Rakyat berbanding Umno-BN yang diselubungi pelbagai kes rasuah dan penyelewengan.

Katanya, senario politik yang tidak ‘selesa’ kepada Umno menyebabkan kerajaan BN tidak berani mengadakan pilihan raya dalam masa terdeat ini.

Hadir sama bersama rombongan tersebut Ketua Penerangan Muslimat PAS negeri, Maznah Muftahuddin, Setiausaha Muslimat PAS Kuala Terengganu, Hajah Rahimah Muda, Muslimat PAS Dun Ladang dan Dun Bandar.

Ulasan