HULU TERENGGANU - Kerakusan Umno dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Basung dekat sini, menimbulkan kemarahan ‘berganda’ dan bantahan penduduk beberapa buah kampung berhampiran.
Kerana mahu mendapat laba, JKKK terbabit bukan sahaja memusnahkan khazanah alam sekitar, bahkan turut tidak langsung mempedulikan sensitiviti umat Islam dan rakyat.
Untuk mendapat keuntungan singkat , JKKK telah menebang sebatang pokok gaharu yang telah berusia lebih 100 tahun .
Penebangan yang dilakukan secara ‘baham rambang’ itu juga menjadi kemarahan penduduk kampung Padang Setebu dan Kampung Pasir selain Kampung Basung, apabila pokok gaharu sebesar dua pemeluk tumbang ke atas tanah perkuburan dan merosakkan 20 buah kubur.
Seorang pewarisnya, Tun Azmi Tun Busu, 40, dari Kampung Pasir Dula melahirkan rasa terkilan dengan tindakan pihak JKKK Kampung Basung hingga merosakkan batu nisan di kubur datuknya.
Katanya, perasaan sedih dan marah apabila melihat kubur arwah ‘tok’ (datuk) yang rosak termasuk beberapa kubur lain.
Menurutnya, bukan persoalan ganti rugi yang dituntut pewaris tetapi masalah ‘wasiat’ serta harta benda si mati.
“Saya cukup rasa sedih, terkilan dan marah bila melihat kubur arwah tok bernama Tun Pandak Tun Omar yang batu nisan dan kepok pusaranya rosak.
“Kami bukan pertikaikan hal ganti rugi tetapi batu nisan dan kepok pusara itu 100 peratus diwasiatkan guna duit arwah sebelum meninggal dunia lebih 15 tahun lalu,” ujarnya.
Kata beliau, arwah tok Pandak mahukan semua urusan jenazah termasuk batu nisan dan kepok pusaranya digunakan duit yang telah diwasiatkan.
Tun Salim Tun Mamat, dari Kampung Pasir Dula menyifatkan perbuatan pihak yang bertanggungjawab merosakkan perkuburan tersebut tidak wajar berlaku kerana boleh mengundang sensitiviti pewarisnya.
“Saya cukup sedih melihat beberapa buah kubur lain termasuk kubur arwah bapa saudara saya (Tun Pandak) yang rosak ditimpa pokok gaharu yang ditebang.
“Saya telah jumpa pihak JKKK dan minta penjelasan tetapi dilayan ala-kadar, ‘suka-suka’ dan bersedia untuk ganti rugi jika rosak.
“Saya rasa hendak marah sangat tetapi sabar dan tidak mahu ‘berbalah’ (bergaduh) walau pun rasa sangat terkilan,” jelasnya.
Menurutnya, tidak ada langsung rasa bersalah di pihak JKKK atau memohon maaf dari pewaris-pewaris yang terbabit.
Encik Ahmad Isa, 49, dari Kampung Basung berkata pihak JKKK Basung yang bertanggungjawab hingga merosakkan kubur arwah datuknya.
Menurutnya, jika urusan kerja menebang pokok balak gaharu itu dilakukan dengan cara betul tidak menjadi masalah.
Namun, katanya pihak berkenaan membuat sambil lewa dan semata-mata ingin mengaut keuntungan dari hasil jualbeli pokok gaharu tersebut.
“Kita (pewaris) bukan hendak cari ‘glamour’ dengan masalah (kubur) ini. Kita tidak puas hati cara pihak JKKK kendalikan masalah ini.
“Saya sendiri telah melihat keadaan kubur arwah tok iaitu Allahyarham Tun Mamat Tun Seman, habis pecah kepok pusara dan rosak batu nisan,” ujarnya dengan hiba.
Menurutnya, isu ini sensitif kerana menyentuh perasaan antara pewaris yang masih hidup dengan kubur arwah si mati.
Justeru, para waris terbabit bercadang mengadu kejadian yang berlaku pada 23 Januari itu, kepada beberapa pihak berwajib berkenaan kejadian tersebut antaranya kepada Jabatan Perhutanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia adalah kerana menurut mereka ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa JKKK dalam tindakan menebang dan menjual kayu gaharu terbabit.
Ulasan