Isu Pelajar Trefound; Adakah Taman Burung dan Zoo Lebih Penting??


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (YT), Dato’ Seri Ahmad Said mesti mengambil tanggungjawab menyelesaikan kes pelajar Kolej Trefound Educare yang tidak dibayar elaun.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik berkata kerajaan negeri khususnya Ahmad Said tidak boleh berlepas tangan dan tidak peduli nasib hampir 200 pelajar kolej anak syarikat YT itu.

Menurutnya, isu tersebut adalah soal masa depan rakyat terutama para pelajar yang dinafikan hak seperti dijanjikan dalam terma tawaran kemasukan pelajar ke Trefound Educare.

“Kami (PAS) hendak ingatkan kerajaan negeri di bawah ‘Mat’ (Ahmad) Said, selaku Menteri Besar Terengganu dia (Ahmad) kena ambil tanggungjawab untuk selesai kemelut ini.

“Mereka (pelajar) dijanjikan dibayar elaun penajaan RM250.00 sebulan termasuk kemudahan lain seperti Laptop oleh Trefound Educare milik Yayasan Terengganu (YT),” jelasnya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, tidak ada sebab kerajaan Terengganu tidak boleh membayar elaun pelajar yang berjumlah RM1.7 juta kerana mempunyai lebih RM1 bilion wang royalti setahun.

Beliau yang juga mantan Exco Kerajaan PAS Terengganu mempersoalkan adakah kerajaan Umno-BN lebih mementingkan Taman Burung Tasik Kenyir, di Hulu Terengganu dan Zoo Bukit Takal di Kemaman melebihi kepentingan rakyat?

Katanya, puluhan juta ringgit dibelanjakan bagi kedua-dua projek tersebut setiap tahun.

Beliau menegaskan, walaupun kerajaan PAS di tohmah degan pelbagai isu negatif dan tidak diberikan wang royalti petroleum, namun mampu membuka dan membiayai Trefound Educare Sdn Bhd

“Semasa kolej ini mula dibuka tahun 2002, waktu itu kerajaan PAS memerintah Terengganu tanpa royalti yang dirampas oleh kerajaan pusat. Kita tidak ada masalah waktu itu,” ujarnya.

Menurutnya, kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan kemelut pelajar berkenaan bukti Umno-BN tidak boleh diharapkan lagi memerintah Terengganu.

Kata Ustaz Abu Bakar, jawapan kononnya pihak pengurusan YT tidak mengetahui masalah pelajar tersebut sebagai pembohongan kepada rakyat.

Pada 2 Februari 2012 lalu, sekumpulan hampir 200 pelatih Institut Kemahiran Trefound Educare-YT ‘menyerbu’ pejabat pentadbirannya bagi menuntut penjelasan kenapa tidak dibayar elaun bulanan tertunggak sejak setahun lalu.

Para pelatih Tahap Dua, Tiga dan Empat mendakwa tidak menerima sebarang bayaran pinjaman atau elaun bulanan yang sepatutnya dibayar sebanyak RM250 sebulan.

Beliau menggesa agar pihak kolej Trefound Educare, Yayasan Terengganu dan kerajaan negeri menyelesaikan kemelut tersebut demi masa depan pelajar terbabit.

Ulasan