KUALA TERENGGANU – Para peniaga di Pasar Borong Gong Pauh dekat sini melahirkan rasa tidak puas hati kepada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kerana tidak memperbaiki infrastruktur asas pasar tersebut walaupun mereka membayar sewa.
Kemudahan asas seperti jalan dan perparitan yang rosak dan bekalan air yang terputus bekalannya tidak dipulihkan sejak sekian lama.
Seorang peniaga ikan, Johari Abdullah, 50, (Gambar kiri) berkata semua peniaga pasar tersebut adalah terdiri daripada orang-orang Melayu tetapi kerajaan tidak memberikan perhatian.
“Kalau pasar (orang) Melayu dia buat begini, kalau pasar bangsa lain nombor satu dia buat, ke dia nak suruh kita angkat sepanduk (bantahan),
“Tangki air besar tapi (bekalan) air tak ada, kita minta paip (setiap) kedai satu, pasal apa dia tak beri, kita bayar ke dia (pihak berwajib) bukan free (percuma),”ujarnya ketika ditemui.
Katanya, kalau peniaga tidak bayar sewa, pihak berkenaan akan rentang kain merah, bagi menyekat peniaga dari menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, kerajaan menghabiskan belanjawan lebih RM1 bilion tapi kemudahan asas pasar tersebut tidak juga diperelokkan.
Menurutnya, beberapa kali aduan dibuat kepada pihak berkenaan, tetapi tidak dilayan kerana pihak terbabit berkata kerajaan akan mendirikan pasar borong yang baru.
Namun begitu, Johari berkata, jawaan yang sama telah diberi sejak lima tahun yang lalu.
“bila kita cakap-cakap (mengadu) dia kata nak buat pasar baru….tapi bila? Lama dah cerita nak buat pasar baru tu,”jelasnya.
Manakala rakannya, Haji Omar Mohamad, 60, (Gambar kanan) seorang peniaga barangan keperluan dapur berkata kemudahan air yang paling teruk kesannya kepada peniaga.
Beliau berkata, surau tempat para pemiaga menunaikan solat setiap pada setiap hari juga tidak ada bekalan sejak sekian lama.
Oleh itu, beliau merayu supaya kerajaan dapat memberikan perhatian kepada peniaga pasar borong terseut yang menurutnya terdiri daripada 99% orang-orang Melayu.
“Kerajaan kata nak tolong orang-orang Melayu, peniaga dalam pasar ni 99% orang Melayu, kerajaan sepatutnya membantu peniaga-peniaga Melayu,”tegasnya.
Ulasan