Segerakan Pembinaan Jambatan Pulau Sekati


KUALA NERUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr Alias Razak menggesa dibina segera jambatan di atas Sungai Terengganu ke Pulau Sekati menggantikan jambatan kayu sedia ada sudah uzur dan membahayakan keselamatan penggunannya.

“Jambatan kayu ke Pulau Sekati yang dibina sejak 20 tahun lalu sudah semakin reput, ada kayu papan tercabut, berlubang-berlubang  dan membahayakan penggunanya khususnya penduduk Pulau tersebut,

“jambatan sepatutnya telah dibina, tetapi kerajaan negeri melengah-lengahkannya,”ujarnya ketika ditemui selepas melawat Pulau Sekati pada Rabu 15 Februari.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Kementerian Kerja Raya (KKR) jambatan tersebut dirancang akan dibina pada Rancangan Malaysia ke-9 tetapi telah ditangguhkan kepada Rancangan Malaysia ke-10.

Katanya, dari maklumat yang sama, KKR pernah merancang untuk mengeluarkan tender pembinaan pada Jun 2007.

“Kita tak tahu sebab apa pembinaan jambatan itu yang sepatutnya dilaksanakan dalam RMK-9 tetapi telah dibawa kepada RMK-10, JKR pernah merancang keluarkan tender pada bulan Jun 2007,

“malah menurut maklumat KKR dibawah tajuk Senarai Projek RMK-9, jambatan itu dicatatkan sebagai telah siap sepenuhnya,”katanya.

Karenah politik kerajaan Umno Terengganu juga, katanya, adalah punca menyebabkan kelewatan pembinaan jambatan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said pernah mengeluarkan kenyataan, cuba membatalkan pembinaan jambatan tersebut sebagaimana disiarkan media pada 17 Jun 2010.

“MB Ahmad Said pernah keluarkan kenyataan, pembinaan jambatan baru menghubungkan Losong melalui Bukit Datu sehingga persimpangan Semarak di Bukit Tunggal di sini tidak akan melibatkan Pulau Sekati,”

“ini juga karenah yang melambatkan pembinaan jambatan yang menjadi keperluan utama penduduk di sini (Pulau Sekati),”jelasnya.

Bagi pihak penduduk Pulau Sekati, Dr Alias yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus  melahirkan rasa sukacita apabila dimaklumkan bahawa jambatan tersebut akan tetap dibina.

Menurutnya, beliau diberitahu, pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengesahkan pembinaan jambatan tersebut dalam taklimatnya kepada Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 26 Januari lalu.

“Ia mengesahkan kenyataan saya sebelum ini, kerajaan Umno Terengganu mengigau apabila Ahmad Said cuba membatalkan projek yang telah diputuskan sekian lama,”tambahnya.

Ulasan