Surat Cabaran Debat Isu Rampasan Tanah SRIDB


- Surat Rasmi Cabaran Debat Telah Dihantar Kepada ADUN Paka
KUALA TERENGGANU
- Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah ‘berbohong’ kepada rakyat serta menfitnah pihak Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB).

Menurutnya, Adun Paka cuba menutup kesilapan Umno ‘merampas’ tanah SRIDB yang diagihkan hanya kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limbong.

Katanya, terdapat hampir 16 tuduhan yang tidak berasas tentang fakta sebenar isu tanah serta bersifat memfitnah bagi menutup kesalahan merampas tanah SRIDB.

“Kita telah teliti dan ada hampir 16 dakwaan yang dibuat oleh Adun Paka (Zakaria) semua bohong dan fitnah kepada pihak sekolah SRIDB.

“Tanah itu dikatakan hak kerajaan yang berstatus ‘haram’. Kita (SRIDB) menafikan sepenuhnya kerana tanah itu bukan berstatus haram. Tanah itu kita masuk dengan Lesen Menduduki Sementara (TOL) yang dimiliki sebelum ini.

“Bukan kita masuk ceroboh dan buat bangunan. Bahkan, kita pernah bayar dua kali lesen TOL kepada kerajaan negeri sejak tahun 2003. Selepas itu kita tidak dibenarkan bayar bukan kita tidak mahu bayar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tingkat 10, Wisma Persekutuan, dekat sini, 19 Februari lalu.

Menurutnya, banyak kenyataan dan ucapan yang dibuat oleh Adun Paka itu bagi mempertahankan diri dalam isu rampasan tanah SRIDB bersifat pembohongan.

Justeru itu, kata Ustaz Satiful Bahri PAS mencabar Adun Paka yang lebih dikenali panggilan ‘Pok Ya’ agar berdebat secara terbuka dalam isu tersebut.

Menurutnya, surat rasmi akan dihantar dalam masa terdekat ini kepada Adun Paka berkenaan bagi menyertai debat terbuka di tapak SRIDB.

“Saya mencabar Adun Paka (Zakaria) dengan debat terbuka di tapak sekolah (SRIDB). Jika dia benar dan berani berdepan, saya cabar ‘Pok Ya’ (Zakaria) berdebat dalam isu ini secara terbuka.

“Dia boleh pilih di mana-mana sahaja khususnya di Paka supaya rakyat di Dun Paka  ini dapat dengar semuanya. Siapa yang bohong.

“Kita (PAS) akan hantar surat rasmi kepada Adun Paka untuk berdebat. Debat atas tajuk “Siapa Rampas Tanah Siapa”... sebab dia (Adun) pun sebut “Siapa Yahudi, Siapa Palestin” bagi mempertahankan tindakan JKKK rampas tanah SRIDB.

“Kita cabar dia, jika tidak berani dia kena letak jawatan (Adun). Kita (SRIDB) akan terus dengan memorandum bantahan,” tegasnya.

Berikut disiarkan isi kandungan surat cabaran debat Ustaz Satiful yang dihantar kepada Pok Ya bertarikh 20 Februari, 2012 dan rakaman sidang media Pok Ya yang telah berbohong

___________________________________________________________________________________________

Bertarikh: 20 Februari 2012
Bersamaan: 27 R’Awal  1433H

Kepada;

YB ADUN Paka,
Zakaria @ Mohd Ariffin Bin Abdullah,
Lot 11750, Kampung Cacar,
23100 Paka, Terengganu.

YB,

CABARAN DEBAT ISU RAMPASAN TANAH SRIDB


Merujuk perkara diatas, berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 15 Februarti 2012 ( Rabu ) m/s 3 dan Berita Harian m/s 28, serta video penuh kenyataan media pihak tuan di Permai Inn pada hari Selasa 14 Februari 2012.

2.    Saya, warga SRIDB dan masyarakat setempat amat terkilan dan berasa sedih diatas pembohongan, kenyataan palsu dan berunsur fitnah yang dilakukan oleh pihak tuan dihadapan media dan wartawan serta disiarkan kepada rakyat secara satu hala. Hal ini sepatutnya tidak layak dilakukan oleh pihak tuan yang berstatus Wakil Rakyat dan bukannya wakil kroni.

3.    Untuk mengelak tuduh menuduh dan polemik ini berterusan serta memberi peluang semua pihak menyatakan kebenaran secara adil dan saksama, dengan ini saya mengajukan DEBAT RAKYAT antara saya dan pihak YB diadakan pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja tempat dalam DUN Paka dengan tajuk yang disebut oleh pihak tuan dalam sidang media iaitu “Siapa Rampas Tanah Siapa” atau  “Siapa Yahudi, Siapa Palestine”. Tatacara debat boleh ditentukan kemudian.

Sekian, semoga majlis ini mendapat keberanian pihak tuan untuk persetujuan dan ianya berjaya diadakan untuk pencerahan serta keadilan semua pihak. Kerjasama pihak tuan kami dahului ucapan terima kasih.

Wassalam.

“ ISLAM BERDAULAT, NEGERI BERKEBAJIKAN “



Yang benar

t.t.
( SATIFUL BAHARI BIN MAMAT )   
Pengerusi MTD Paka (merangkap)
Timbalan Pesuruh Jaya PAS Negeri Terengganu

Ulasan