Mengapa Kami Tidak Boleh Bayar Tanah Kami?


PULAU REDANG – Penduduk Kampung Baru Pulau Redang mendakwa Pejabat Tanah Kuala Terengganu menolak, setiap kali mereka cuba melunaskan bayaran premium tanah tempat tinggal yang telah diagih-agihkan oleh kerajaan negeri kepada mereka.

Sebaliknya menurut seorang penduduk, Abdul Rahman Ali, beliau diminta membayar sebanyak RM 27, 045.00 iaitu harga premium tanah dicampur dengan harga pembinaan rumah sebanyak RM25, 000.00.


Sedangkan kata beliau, premium tanah tersebut adalah berjumlah RM2,045.00 sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh beberapa penduduk sebelum ini.

“Harga premium tanah adalah RM2,045.00, saya nak bayar tapi Pejabat Tanah tak beri, dia kata kena bayar RM27, 045.00, iaitu termasuk harga rumah,

“dulu semasa kerajaan PAS pada tahun 2001, ada penduduk yang bayar dan telah terima geran tanah,”jelasnya ketika ditemui.

Beliau menyifatkan larangan membayar premium tanah tersebut adalah satu tindakan menyekat para penduduk dari memiliki tanah yang sudah mereka diami selama 10 tahun.

Oleh itu, beliau yang sudah berumur 62 tahun merayu supaya kerajaan meloggarkan syarat kerana menurutnya, ia akan menimbulkan masalah sekiranya beliau meninggal dunia.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengutip bayaran harga rumah secara beransur-ansur dari penduduk pulau peranginan tersebut .

“Saya sudah tua, sekiranya terjadi apa-apa bagaimana status tanah yang masih belum dimiliki mahu diwasiatkan kepada anak-anak yang tinggal,

“kerajaan boleh memberi ehsan kepada kami dengan mengutip bayaran rumah secara ansuran,”cadang beliau yang merupakan generasi kedua yang menduduki pulau itu.

Selain Abdul Rahman, rakannya Maarof Ismail, 42, (Gambar atas kiri) menyokong cadangan Abdul Rahman dan menggesa supaya penduduk Pulau Redang yang majoriti bekerja sebagai nelayan diberi kelonggaran.

Maarof berkata, hampir mustahil kepada para penduduk untuk membayar sebanyak RM27, 045.00 sekaligus, kerana kebanyakkan mereka hanyalah ‘kais pagi makan pagi’.

“Saya rasa kerajaan perlu beri longgar sikit, benarkan penduduk bayar premium tanah dulu, kemudian kerajaan kutip bayaran rumah secara ansuran macam ‘orang di darat’ beli rumah kos rendah,”ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan mempunyai niat lain ‘yang tersembunyi’ sekiranya tidak membenarkan penduduk berbuat demikian.

Apabila ditanya, apakah yang beliau maksudkan dengan ‘niat tersembunyi’ itu, katanya, beliau ada mendengar berita bahawa status Kampung Baru Pulau Redang adalah sebagai tempat pemindahan sementara.

Menurutnya, ada pihak yang bercadang untuk memindahkan mereka kali ketiga, kepada suatu penempatan bary yang tidak diketahui.

Sementara itu, para penduduk yang telah membayar premium tanah dan memperolehi geran dari kerajaan mempertikaikan, mengapa kerajaan sekarang tidak boleh meneruskan polisi kerajaan PAS.

Antaranya adalah, Mohd Idrus Mohd Amin, 47, (Gambar kiri bawah) yang merupakan orang pertama membayar premium tanah berkenaan pada tahun 2001.

“Kali terakhir penduduk Kampung Baru Pulau Redang dibenarkan membayar premium tanah mereka adalah pada zaman pemeritahan PAS,

“saya adalah orang yang pertama bayar, AlhamduliLlah, tak lama kemudian saya dapat geran tanah,”katanya.

Selain beliau, yang menerima geran bersama dengannya pada tahun 2001 adalah Baharuddin Muhammad, Joni Mohamad, Abdul Wahab Awang Besar dan Che Deraman Ismail
Beliau berkata, berpuluh-puluh tahun penduduk tinggal di pulau itu mengharapkan Kerajaan membantu mereka untuk memperolehi tanah.

Namun menurutnya, ia hanya dapat dilaksanakan di bawah pemerintahan Barisan Altrenatif (BA) yang diterajui oleh PAS pada tahun 1999 hingga 2004.

Katanya, lebih kurang 40 orang yang telah membayar premium tanah semasa kerajaan PAS kini memeliki aset yang tidak kurang bernilai RM60,000.

Ulasan