Pengerusi Anak Terengganu dakwa Felda kini ‘umpama Ceti’


- Anak Terengganu akan Serah Memorandum Kepada Ahmad Said
DUNGUN
– Pengerusi Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Negeri Terengganu,Shalahuddin Jaafar,  berikrar akan berjuang habis-habisan membela nasib dan masa depan yang lebih baik bagi  anak-anak peneroka generasi kedua dan ketiga.

Katanya, nasib 112, 000 peneroka  seluruh negara kini terancam akibat tindakan-tindakan Felda, khususnya tindakan terbaru, mahu menyenaraikan Felda ke bursa saham.



“ada 112, 000 peneroka di seluruh negara yang nasib mereka tidak menentu, (Anak) telah (akan) bersatu memperjuangkan nasib generasi kedua dan ketiga,

“kerana isu-isu (tindakan Felda) pada hari ini, mengancam masa depan warga Felda dan generasi kedua (serta) ketiga,”ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Anak Negeri Terengganu di Felda Kerteh 2, Jumaat 9 Mac.

Menurutnya, tindakan pertama yang akan dilakukan selepas pelancaran, Anak Terengganu akan bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said.

Katanya, memorandum tersebut adalah untuk menggesa kerajaan negeri supaya tidak menyerahkan tanah kepada Felda Global Venture Holding (FGVH) untuk digadaikan apabila penyenaraian dibuat.

Beliau menegaskan, bukan sahaja warga  dan generasi anak-anak Felda yang menolak penyenaraian Felda, bahkan para pegawai Felda turut menolak cadangan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu.

Beliau turut menyelar sikap Felda yang kini tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda tetapi sudah menjadi sebuah badan koperat yang mengutamakan keuntungan semata-mata.

Beliau berkata walaupun pihak Umno dan BN mendakwa Felda adalah sebuah organisasi yang kaya, namun warga Felda terpaksa meminjam untuk melaksanakan pembangunan dan mendirikan rumah.

“Orang bercakap Felda kaya, tapi nak baiki jalan ladang susah (kena buat pinjaman dengan Felda) nak buat rumah kena pinjam, nak beli saham KPF (Kopeasi Peneroka Felda) kena pinjam,

“(pinjaman KPF) interest (kadar bunga) 6% lebih tinggi daripada (kadar interest pinjaman) bank,”jelasnya.

Menurutnya, sikap Felda kini tidak ubah umpama ‘ceti’, meletakkan kadar pinjaman yang tinggi tanpa mempertimbangkan keadaan hidup para peneroka Felda.

Pelancaran Anak Peringkat Neegeri Terengganu telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau telah menerima penyerahan sebanyak 206 keping borang permohonan generasi kedua dan ketiga Felda  telah mendaftar sebagai ahli Anak, pada hari pelancaran terbabit.

Turut hadir adalah Pengerusi Anak Kebangsaan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman, Timbalan Psuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Pengerusi NGO Waris, Ustaz Roslan Ismail

Ulasan