GEMPAR Rancang Jelajah Bongkar Tindakan Zalim Kerajaan Umno Rampas Tanah Rakyat


KUALA TERENGGANU – Gerakan Pembelaan Tanah Rakyat (GEMPAR) merancang akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negeri Terengganu bagi membongkar tindakan zalim kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) merampas tanah-tanah rakyat.

Pengerusi GEMPAR Haji Salleh Embong berkata pihaknya sedang melengkapkan dokumentasi kezaliman tersebut dalam masa terdekat dan aturan jelajah akan dirangka bagi membolehkan rakyat mendapat penerangan yang berkesan.

“Kita sedang mengumpul semua dokumen rampasan tanah rakyat yang dilakukan oleh Umno/BN dan kita sedang merangka jelajah bagi memberikan gambaran,

“betapa kerajaan yang ada pada hari ini sebenarnya hanya menggunakan rakyat sebagai alat, sebenarnya tidak mempedulikan rakyat,

“merapas tanah-tanah, melaksanakan projek-projek ‘haram’ tanpa persetujuan dari rakyat,”ujarnya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan rombongan Jawatankuasa Bertindak tanah Kampung Ladang Kuala Terengganu Selasa malam, 10 April dirumahnya, di kampung Banggol Donas.

[Gambar - atas : Haji Salleh menerima kunjungan dari Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Ladang. Bawah; sebahagian ahli Jawatankuasa Bertindak tanah Kampung Ladang]


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Donas berkata, beliau didatangi oleh beberapa Penolong Pegawai daerah dan tanah Kuala Terengganu baru-baru ini bagi memujuk beliau menyatakan persetujuan terhadap pembinaan di kampung tersebut.

“setelah wakil rakyat, pemimpin Umno berkata macam-macam kepada saya dan mereka yang dizalimi di kampung ini, sekarang mereka nak pujuk…..kononnya,

“dulu, sebelum mula projek, kita tuntut tanah ganti kepada tapak rumah kami yang akan di sodok, wakil rakyat kata taka da tanah ganti,

“tiba-tiba sekarang bawa borang permohonan tanah, konon ada tanah gantian pula….ini semua mainan politik Umno,”tegasnya.

Beliau menjelaskan, rakyat bukannya ‘anti’ pembangunan tetapi rakyat juga mestilah diberikan keadilan berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan Negara.

Setiap pembangunan yang dilaksanakan, katanya, mestilah mendapat persetujuan tuan atau pemilik tanah dan kerajaan mesti telus dalam melaksanakan satu-satu projek.

Beliau menegaskan akan terus mempertahankan hak penduduk Kampung Banggol Donas dan seluruh rakyat yang dizalimi dengan tindakan rampasan tanah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Ulasan