KUALA TERENGGANU – Penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang disini gempar apabila kediaman mereka bergegar dan menyebabkan rasa ‘huyung’ selama kira-kira sepuluh minit bermula pada jam 4.30 petang pada Rabu 11 April.
Buletinonline dimaklumkan oleh seorang pemuda Zawawi Embong tentang kejadian tersebut apabila beliau yang menunaikan solat Asr di surau berhampiran melihat penghuni flet terbabit turun beramai-ramai dalam keadaan cemas.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Dato’ Tengku Hassan Omar yang turut mendapat khabar yang ama telah bergegas melawat flet berkenaan.
Menurutnya, gegaran flet berkenaan adalah kesan gempa bumi kuat 8.6 berskala Ritcher yang berlaku 325km di barat daya Simeulue Indonesia, di luar pantai Sumatera Utara.
“(ia berlaku kerana) gempa bumi di Indonesia, kuat petang ini, sebab itu rasa gegarannya,”katanya yang ditemui di perkarangan flet tersebut.
Menurut seorang penduduk Ngah bin Boto’, beliau tidak mengetahui ada berlaku gempa bumi tetapi merasa ‘huyung’ dan turun ke bawah apabila melihat lain-lain penghuni flet 16 tingkat turun.
“Memang huyung, masa nak turun pun rasa huyung lagi, (ia berlaku) dalam 10 minit, rasa hanyut begitu macam naik motor ke laut,
“saya tengok semua orang ‘bbadi’ turun, saya pun turun (dari flet),”ujar beliau yang tinggal di tingkat 10.
Sementara itu, kejadian panik tersebut telah menyebabkan ahli-ahli keluarga turut menolak turun warga tua yang uzur kerana bimbang akan keselamatan nyawa masing-masing.
Pihak polis dan bomba yang tiba kira-kira jam 5.30 petang telah melakukan pemeriksaan, kemudiannya telah mengumumkan flet tersebut selamat dan para penghuni boleh pulang ke rumah masing-masing pada jam 6.20 petang.
Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang juga merasai gegaran ekoran gempa bumi tersebut
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.
Namun sehingga lewat malam tidak ada Tsunami yang dilaporkan berlaku dan menurut beberapa media antarabangsa amaran awal yang dikeluarkan di negara India serta indonesia telah ditarik balik.
Ulasan