Ustaz Bakar Chik 'Serius' Ajak Mad Said ‘Mubahalah’ Bukti Kebenaran


KUALA TERENGGANU - Pemimpin Umno Terengganu mengulangi fitnah 'jahat' terhadap PAS dengan melabelkan PAS kononnya sebagai sebuah ‘parti ajaran sesat’ secara secara terangan-teragan dan terbuka menganjurkan satu Wacana umum berkenaan tajuk tersebut.

Berikutan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik secara serius mengajak Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said ‘bermubahalah’.

Katanya, cadangan mubahalah tersebut bagi mengelakkan Umno dan pemimpin utama parti itu mengulangi tuduhan ‘berat’ memfitnah parti Islam sebagai sesat.

Menurutnya, jika pelawaan mubahalah tidak diterima pemimpin Umno tersebut wajar meminta maaf serta menarik balik kenyataan berkenaan.

“Saya sebagai seorang pimpinan PAS, ahli PAS dan pekerja PAS. Saya minta dia (Ahmad) ‘bermubahalah’ kerana dia buat fitnah.

“Jika dia tidak mahu bermubahalah, dia kena tarik balik dan minta maaf di atas ucapan dia. Antara dua, sama ada dia tarik balik ucapan itu atau bermubahalah. Itu sahaja.

“Ini (mubahalah) bukan bermaksud untuk publisiti tetapi untuk hendak membendung supaya orang lain tidak sesat. Saya anggap perkara ini sangat besar dan boleh menyesatkan ramai orang. Ini bahaya aqidah dan bahaya perpecahan berlaku di kalangan umat,” tegasnya ketika berkunjung ke pejabat Sinar Harian, 14 April lalu.

[Gambar - Ustaz Abu Baar Chik merujuk dalil Mubahalah yang tedapat dalam kitab suci al-Quran]

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berpendapat ajakan ‘mubahalah’ wajar dilakukan bagi mengelakkan Umno serta kepimpinannya berterusan memfitnah PAS sesat.

Ini kerana, kata Ustaz Abu Bakar istilah sesat di Negara ini membawa maksud ‘kafir’ atau ‘syirik’ serta terkeluar dari ajaran Islam sebenar.

“Kenyataan (mubahalah) ini perlu dilakukan untuk mengelak Umno terus melakukan dan Dato’ Seri Ahmad Said secara khusus atas sifat peribadi dia sebagai Menteri Besar (MB) dan Ketua Umno-BN negeri Terengganu telah menuduh PAS sebuah parti sesat.

“Sesat ini bagi istilah kita di Malaysia sama dengan “kafir” atau pun sama dengan “syirik”. Iaitu suatu ajaran sesat yang terkeluar dari ajaran Islam. Jika PAS sebagai parti sesat, maknanya PAS terkeluar dari landasan Islam. Ianya, sama taraf dengan kafir atau pun syirik,” jelasnya.

Menurutnya, menuduh seseorang itu kafir atau syirik sangat besar dosa jika yang dituduh itu tidak melakukan perkara tersebut.
Dato’ Abu Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu menegaskan kaedah mubahalah itu merupakan jalan terakhir bagi menuntut kebenaran.

Katanya, sumpah mubahalah mempunyai syarat-syarat tertentu yang terdapat dalam al-Quran serta pernah berlaku dalam sejarah Islam.

“Walau bagaimana pun, sumpah ‘mubahalah’ ini adalah kaedah yang terakhir. Pada hari ini, saya hendak minta tolong dengan Allah SWT untuk diri saya sendiri dan keluarga kerana syarat yang pertama untuk mubahalah ini kena mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Niat kerana Allah, Insya’Allah saya niat ikhlas kerana Allah untuk mencari kebenaran bagi mengajak Dato’ Seri Ahmad Said bermubahalah.

“Pertama, Dia (Ahmad) dan anak-anak, isteri dan saya (Abu Bakar) dengan anak-anak dan isteri mengajak untuk bermubahalah bersama-sama melakukan sumpah di mana-mana tempat yang akan diatur.

“Kedua, kerana kepentingan Islam. Syarat bermubahalah ini kita hendak mencari kebenaran dan menentang kebatilan. Jika dia (Ahmad) tidak mahu bermubahalah, maknanya dia tidak yakin dengan apa yang dia ucapkan itu,” ujarnya.

Menurut beliau, parti Islam berjuang bagi menegakkan Islam dan jika PAS dituduh sebagai parti Islam sesat, mana lagi pendakwahnya.

Sedangkan, katanya kemungkaran yang besar ialah tidak adanya negara yang beramal dengan hukum-hukum (perundangan) Islam.

Ulasan