Wakil Rakyat Gelar Saya ‘Dajjal’ Kerana Mempertahankan Hak Dan Menuntut Keadilan


KUALA NERUS – Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Banggol Donas Haji Salleh Embong kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu yang menggelar dirinya sebagai ‘dajjal’ kerana mempertahankan hak dan menuntut keadilan.

“Saya kesal, dia yang digelar ‘Yang Berhormat’ sanggup menggelar saya sebagai dajjal kerana saya berjuang mempetahankan hak tanah air saya,

“saya tidak bersetuju dengan pembinaan jalan dan bersama-sama 18 orang penduduk kampung menuntut keadilan dan tidak pernah menyakiti mana-mana pihak,”ujarnya ketika ditemui pada hari ini Selasa, 3 April.

Haji Salleh yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan dirumahnya.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan Jun tahun lalu kerana pembinaan Jalan dan Jambatan Kampung Jeram dari Banggol Tuan Muda Ke Kampung Bukit Guntong  tidak mengikut prosedur.

Katanya, jalan tersebut  yang melintasi Kampung Banggol Donas tidak sepatutnya dibina kerana ia belum diwartakan.

[Gambar bawah - haji salleh menunjukkan pelan pembinaan jalan yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kerajaan membina jajaran yang telah dicadangkannnya]

“Siapa suruh buat (jalan), kalau awak buat awak tanggung sendiri tanpa kebenaran daripada JKR jangan melibatkan orang kampung, kalau kata kerajaan suruh buat kerajaan lah tanggung, buat apa nak susah, tak ada masalah pun,

“saya beritahu dia, jalan yang awak buat ini tanah belum warta, kalau (saya) repot polis, awak pun kena,”jelasnya merujuk kepada percakapannya kepada kontraktor berkenaan sebelum ini.

Beliau mendakwa ada sesuatu yang tak kena dengan pembinaan jalan tersebut kerana ia dibina diatas tanah milik individu yang belum dibayar.

Justeru, beliau akan meneruskan perjuangannya menuntut keadilan selagi kerajaan tidak melakukan keadilan.

“kita akan teruskan dengan keadilan, kita akan menuntut hak kita selagi pihak berkuasa kerajaan negeri tidak melaksanakan keadilan kita akan lawan,

“lawan atas dasar menuntut hak kita,”tegasnya.

Katanya, beliau akan turut membantu dan berjuang bersama mana-mana pihak yang telah dizalimi berkait dengan masalah tanah di negri Terengganu.

Beliau memaklumkan, pihaknya telah menubuhkan satu badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembelaan Tanah Rakyat Terengganu (GEMPAR) bagi tujuan memberikan khidmat dan runding cara secara percuma kepada mana-mana pihak yag dianiyai dalam isu tanah.

Ulasan