KUALA TERENGGANU - Benarkan negeri Terengganu Darul Iman adalah antara negeri yang paling banyak berlaku salah laku seks khalwat, rogol dan zina? Tidak ada satu senarai lengkap yang dapat membuktikan dakwaan tersebut. Namun begitu, kesalahan jenayah yang melibatkan seks sering dipaparkan
di dada-dada akhbar perdana terutamanya, akhbar tempatan Terengganu. Antara petikan dari laporan-laporan akhbar tersebut dalam tempoh setahun lalu, adalah seperti di bawah;
01. Seramai 36 remaja, kebanyakannya berusia belasan tahun dicekup atas kesalahan melakukan jenayah syariah termasuk pertuduhan khalwat di beberapa lokasi berasingan di daerah Dungun, kebanyakannya di taman permainan dan di tempat awam. Pendedahan dibuat Pendakwa Syarie, Azmi Tengah (Sinar Harian, 29 Januari 2011).
02. Seorang janda muda berusia 25 tahun bukan saja meredah perjalanan kira-kira 50 kilometer dari Besut ke Setiu untuk bermalam dengan teman lelakinya, malah sanggup membawa anaknya bersama ketika melakukan perbuatan terkutuk itu. Sepasukan pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Setiu menahan pasangan kekasih terbabit ketika mereka berdua-duaan di sebuah rumah berdekatan Permaisuri. (Harian Metro, 22 Januari 2011)
03. Hasrat seorang gadis berusi 15 tahun dari Kampung Kepala Gajah, Renek, Besut, mengutip hutang RM6 dipinjamkan kepada seorang rakan lelakinya bertukar tragedi hitam apabila dia dirogol lelaki terbabit sebaik tiba di rumah suspek di Kampung Kuala Kubang, Jabi. (Harian Metro, 13 Oktober 2010)
04. Kawasan semak dipenuhi pohon berduri dan menjadi laluan haiwan liar terutama babi hutan di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu, dikesan menjadi lokasi pasangan remaja melakukan kegiatan tidak bermoral, terutama di waktu malam. (Sinar Harian, 5 Ogos 2010)
05. Kawasan longkang besar berdekatan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu didakwa menjadi sarang aktiviti maksiat. Penduduk berdekatan mendedahkan sering melihat pasangan muda memasuki kawasan berkenaan pada lewat malam dan ada antara mereka yang hanya pulang keesokan harinya. (Sinar Harian, 18 Oktober 2010)
06. Seorang ibu berusia 58 tahun membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Besut di atas dakwaan bersubahat membiarkan anak perempuannya berkurung bersama kekasih anaknya pada lewat malam di dalam rumah mereka di Kampung Jabi. Mereka ditangkap anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah pada 21 Disember 2009, jam 1.10 pagi. (Sinar Harian, 28 Oktober 2010)
07. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat diperintah berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Rendah Syariah Dungun selepas didapati berkhalwat dengan teman lelakinya di rumahnya dekat Kampung Sungai Buaya, April 2010. Ketika serbuan sepasukan anggota penguat kuasa syariah kira-kira jam 10.40 malam, pelajar tersebut hanya memakai baju tanpa lengan dengan seluar pendek paras lutut. Manakala teman lelakinya ditemui menyorok di bawah katil dengan hanya memakai seluar ‘boxer’ tanpa baju. (Sinar Harian, 26 Oktober 2010)
08. Pelajar perempuan lingkungan umur 14 hingga 16 tahun di negeri ini semakin ramai dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana mempunyai masalah disiplin dan pergaulan bebas yang sukar dikendalikan pihak sekolah dan ibu bapa. Pegawai Psikologi Pejabat JKM Daerah Kuala Terengganu, Roziya Mohd Sahar berkata jumlah kes terbabit menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. (Sinar Harian, 28 September 2010)
09. Seramai 16 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun disingkir daripada pengajian sepanjang 2009 kerana mencemari nama institusi itu dengan melakukan kesalahan jenayah syariah termasuk khalwat. Pengarah PSMZA, Zolkarnain Jobshi berkata, 10 daripada mereka adalah penuntut lelaki, manakala enam penuntut perempuan. (Sinar Harian, 28 September 2010)
10. Seorang wanita yang masih berstatus isteri terpaksa meringkuk di dalam penjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Dungun atas kesalahan persediaan melakukan persetubuhan haram dengan seorang lelaki bukan muhrim berketurunan Bangladesh di sebuah hotel dekat Dungun, Julai 2010. (Sinar Harian, 30 September 2010)
11. Akibat berada di lokasi agak sunyi dan kurang digunakan orang awam, tempat letak kenderaan di pusat beli-belah di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu dikesan dijadikan tumpuan pasangan kekasih yang berkereta melakukan maksiat, tanpa mengira malam atau siang. (Sinar Harian, 28 September 2010)
12. Lapan individu termasuk tiga remaja perempuan dicekup penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Besut dan polis kerana disyaki berkhalwat beramai-ramai dalam sebuah rumah dekat Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut. Dalam serbuan jam 1.06 pagi itu, lima lelaki berusia antara 17 dan 22 tahun dan tiga pelajar perempuan sebuah kolej swasta di Bachok, Kelantan maisng-masing berusia 19 tahun ditahan. (Sinar Harian, 17 Mac 2011)
13. Rahsia aktiviti maksiat sepasang kekasih yang bersekedudukan hampir tiga tahun dan menghasilkan seorang anak berusia setahun setengah akhirnya terbongkar setelah polis menyerbu rumah sewa mereka di Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Serbuan yang pada awalnya bertujuan mencari suspek wanita kerana disyaki terlibat dalam kes pecah amanah itu mendapati pasangan itu bukan suami isteri, malah wanita berasal dari Johor Bahru itu masih berstatus isteri orang. (Sinar Harian, 26 April 2011)
14. Seorang wanita berusia 20 tahun yang mengaku berstatus janda anak satu sedangkan dia sebenarnya masih isteri kepada seorang mekanik berusia 50-an dicekup pihak berkuasa selepas memadu asmara bersama teman lelakinya di sebuah rumah dekat Kampung Seberang Pintasan, Dungun. (Sinar Harian, 20 April 2011)
15. Seorang wanita yang masih dalam tempoh eddah selepas dua bulan bercerai dengan suaminya ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Besut kerana disyaki berkhalwat dengan seorang duda di rumah sewa wanita itu di Jertih. (Sinar Harian, 18 April 2011)
16. Jejantas yang dibina untuk kemudahan orang ramai ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dikesan disalahgunakan segelintir pasangan remaja untuk memadu kasih dan melakukan kegiatan tidak bermoral. Mereka didakwa berpelukan tanpa segan silu walau pun menyedari perbuatan mereka dilihat orang ramai yang melalui kawasan berkenaan. (Harian Metro, 30 September 2010)
17. Kedudukan taman rekreasi di Sungai Nerus, Kampung Jeram yang agak tersorok serta terbiar menjadikannya lokasi pilihan golongan penagih dan pasangan kekasih memadu asmara. Sebuah bilik dipercayai sebelum ini dijadikan bilik persalinan pengunjung ke taman itu didapati dilengkapi tilam dengan kondom bertaburan. (Sinar Harian, 8 Ogos 2010)
18. Seramai 623 anak tidak sah taraf didaftarkan di negeri ini tahun lalu, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam. “Melihatkan perangkaan ini, ia jelas sangat menggerunkan kerana menandakan gejala sosial semakin kronik. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan beragama Islam dan tidak didiketahui siapa bapa sebenarnya,” kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad. (Berita Harian, Harian Metro & Sinar Harian, 26 Januari 2011)
19. Seorang pembantu kedai berusia 19 tahun yang mengandung anak luar nikah melahirkan bayi lelaki dalam tandas tempat dia bekerja di bandar Jertih. Pemeriksaan doktor mengesahkan bayi itu meninggal dalam kandungan dalam dua hingga tiga hari sebelum dilahirkan. (Sinar Harian, 23 Oktober 2010)
20. Seorang bapa di Chukai terpaksa menghadapi hakikat amat memalukan apabila hanya mengetahui anak gadisnya sarat mengandung anak luar nikah dan cuma menunggu saat melahirkan bayi ketika menghantar anaknya itu ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan kerana suhu badannya panas. Berdasarkan soal siasat polis, mangsa yang sudah tidak bersekolah mengakui telah melakukan hubungan seks lebih 25 kali bersama teman lelakinya berumur 19 tahun berasal dari Kelulut, Marang. (Sinar Harian, 25 Mac 2011)
Ulasan