Kenyataan MB Terengganu Adalah Fitnah

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Banggol Donas, Haji Salleh Embong menyangkal kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' seri Ahmad Said yang menuduh 22 penduduk Kampung Banggol Donas menipu kepimpinan PAS.

Beliau mendakwa kenyataan Ahmad itu adalah fitnah dan bersifat politik yang merosakkan imej beliau dan penduduk kampung terbabit.

“Kita (wakil) buat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu yang mengatakan kami ini penduduk Kampung Banggol Donas seramai 22 orang ini telah menipu kepimpinan PAS berhubung dengan isu pengambilan balik tanah di Kampung Banggol Donas.

“Dia (MB) kata kerajaan telah bayar duit, kita (penduduk) tak mahu pindah. Jadi atas dasar itu PAS mempercayai dan seolah-olah kami memperdaya kepimpinan PAS.

“Saya sekerasnya, menyangkal kenyataan itu kerana ianya berupa fitnah dan merosakkan imej dan kredibiliti saya sebagai Penegerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas.

“Kita (penduduk) buat laporan (polis) dengan harapan pihak polis menyiasat adakah kenyataan MB itu bersumberkan dari Pejabat Tanah atau sengaja mempolitikkan isu,” jelasnya ketika bercakap kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, dekat sini, pada Isnin 30 April.

Menurut Salleh, kenyataan Ahmad itu memberi gambaran negatif seolah-olah sekumpulan penduduk yang tidak menghormati undang-undang serta menentang pembangunan.

Beliau meminta kerajaan membuktikan dakwaan penduduk tersebut tidak benar kerana sebahagian besarnya masih belum menerima bayaran pampasan tersebut.

Ini kerana, kata bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus itu mengikut Akta Pengambilan Tanah setelah pihak berkuasa membayar sejumlah harga tanah atau rumah kerajaan berhak merobohkannya.

“Ini menggambarkan kita (penduduk), sekumpulan manusia yang tidak menghormati undang-undang, tidak bersama-sama kerajaan dan menentang pembangunan.

“Jadi atas dasar itu, selepas disiasat oleh pihak polis. Saya minta Ahmad atau kerajaan negeri buktikan bahawa dakwaan saya selama ini tidak benar.

“Sebab ikut, Akta Pengambilan Tanah setelah sahaja kerajaan membayar duit (pampasan), tanah atau rumah. Kerajaan berhak meroboh rumah kita. Tetapi, sehingga hari ini, Alhamdulillah…kita masih lagi duduk (tinggal) di rumah atas tanah yang telah dikatakan dibayar itu. Jadi itu satu pembohongan,” tegasnya.

Laporan tersebut dibuat oleh seorang wakil penduduk, Abdul Halim Mohd, 44, dari Kampung Banggol Donas yang bekerja sebagai pemandu.

Kata Abdul Halim, berhubung dengan pampasan setakat 25 April 2012 lalu, masih belum menerima seperti yang didakwa oleh MB Terengganu.

“Saya adalah salah seorang dari 22 ahli yang dimaksudkan dalam kenyataan Ahmad (MB) menafikan menipu kepimpinan PAS. Kenyataan itu berniat tidak baik, menjatuhkan kredibiliti saya dalam masyarakat dan boleh menjejaskan hubungan saya dengan kepimpinan PAS.

“Setakat 25 April 2012, saya masih belum menerima pampasan dan mengikut Seksyen 16 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486). Pentadbir tanah hendaklah menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam borang H kepada setiap orang berkepentingan pada tanah itu sebelum pampasan dibayar.

“Saya masih belum menerima award dalam borang H dari Pejabat Tanah Kuala Terengganu. Jadi bagaimana mengatakan saya telah menerima dan enggan berpindah,” jelasnya.

Seorang penduduk yang mewakili kumpulan 22 buah rumah kediaman di Kampung Banggol Donas, dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Pasu, Kuala Nerus membuat satu laporan polis terhadap Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Laporan tersebut dibuat berhubung kenyataan MB itu yang mendakwa pimpinan PAS ditipu oleh 22 ahlinya berkaitan pengambilan balik tanah di kampung tersebut.

Laporan polis dibuat pada jam 10.45 pagi.

Ulasan