Loji Proses Gas Meletup; Dua Meninggal Dunia, 23 Cedera


KEMAMAN/ DUNGUN – Dua orang meninggal dunia dan 23 lagi mengalami kecederaan selepas letupan berlaku di Loji Pemprosesan Gas 3 (GPP3), Kawasan Projek PRR, Kompleks A milik Petronas di Kertih, pada kira-kira jam 3 petang Khamis 10 Mei.

Mereka adalah antara kakitangan syarikat kontraktor Konsortium Hyundai-PFCE yang sedang bekerja di loji tersebut bersama kira-kira 2,000 orang sedang bertugas di sekitar kawasan berkenaan.


Bernama melaporkan, salah seorang pekerja yang meninggal dunia, Rosli Mansor, 31, disahkanmenemui ajalnya di tempat kejadian.

Sementara itu, pekerja lain yang tercedera  dan dikejarkan ke Hospital Kemaman dan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Menurut seorang pekerja ayang menjadi saksi kejadian, letupan tersebut berlaku kerana kerja yang dilaksanakan tidak mengikut prosedur.

“(letupan) jadi sebab kerja tidak mengikut prosedur, tambahan dalam longkang sedalam 20kaki ada gas mendap, dan kebetulan juga ada orang (pekerja) sedang ‘welding’ paip,”ujarnya ketika dihubungi skuad BO.

Beliau yang tidak mahu dikenali berkata, kesan letupan sangat kuat sehingga longkang tersebut pecah.

Menurutnya, sebelum ini sudah dua kali berlaku kejadian seumpama itu, namun pihak berkenaan tidak tidak mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

Pada 5 April lalu, seramai 27 orang pekerja dari syarikat yang sama telah terhidu gas semasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan industri terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly ketika mengulas kejadian tersebut menggesa, supaya pihak berkuasa kerajaan Malaysia dan pemain utama industri petroliam negara Petronas meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

Namun begitu, dalam tempoh kira-kira sebulan, kawasan perindustrian minyak dan gas utama negara di Kerteh itu mengalami kejadian letupan pula.

Ulasan