Monumen-monumen ‘Salah Urus’ Kerajaan Umno-BN Terengganu Siri 1; Binjai Souq


KEMAMAN – Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu banyak menyimpan khazanah bangunan-bangunan yang menjadi ‘monumen’ menunjukkan berlakunya salah urus tadbir dalam kerajaan yang diterajuinya sejak mengambil alih pemerintahan dari kerajaan PAS pada tahun 2004.

Ada bangunan yang sekiranya dilihat dengan mata kasar, seperti ia telah siap pembinaannya, tetapi bangunan tersebut masih tidak digunakan.

Ada bangunan yang telah siap tetapi terbiar, ada bangunan yang telah siap tetapi digunakan bukan menurut tujuan pembinaan asalnya dan ada juga bangunan belum siap tetapi telah digunakan sepenuhnya.

Antara bangunan yang ‘dilihat’ telah siap tetapi tidak digunakan adalah bangunan pasar baru mukim  Binjai atau dikenali sebagai ‘Binjai Souq’.

Pasar yang terletak di Atas Lot 950, 951 Dan Lot 405, Mukim Binjai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih, mula dibina oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPk) pada tahun 2005.

Menurut Laporan Aktiviti Dan Kajian Khas Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2005 yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, Binjai Souq yang dibina dengan kos RM2.5 juta akan siap pada tahun 2006.

Namun begitu, Binjai Souq tidak siap sebagaimana dijadualkan apabila pembangunanya terhenti kerana kontraktor tidak dapat meneruskan kerja-kerja pembinaannya.

Oleh itu, MPk telah menawarkan semula projek tersebut pada 9 November 2007 kepada Aksi Jasa Supply & Services Sdn. Bhd. dengan kos RM 3,240,127.00

Menurut catatan CIDB, Conor Engineering And Services Sdn. Bhd. telah meneruskan pembinaan Binjai Souq bagi pihak Aksi Jasa Supply & Services Sdn. Bhd.

Sekitar akhir  tahun 2009, para peniaga pasar basah Binjai Souq dibenarkan untuk masuk dan meneruskan perniagaan dalam bangunan baru, tetapi bangunan Bazaar Binjai Souq masih belum dibuka kepada orang ramai sehingga kini.

Sebaik menjalankan perniagaan, para peniaga mula mengeluh dan merungut dan membuat laporan kepada MPk tentang keadaan pasar .

Namun ia kurang mendapat perhatian pihak berwajib yang mempamirkan sikap sekadar ‘melepas batuk di tangga’ sahaja.

Menurut peniaga terbabit, terdapat ‘kecacatan’ pada beberapa bahagian struktur pasar tersebut yang menggusarkan hati mereka.

Antara kerosakan paling ketara terdapat kesan kebocoran pada bahagian yang menempatkan tangki air serta berlaku keretakan struktur bangunannya.

Selain itu, banyak jubin lantai yang retak dan pecah menyebabkan berlaku banjir apabila hujan kerana dimasuki air dari bawah tanah.

Manakala, sebahagian besar dari kemudahan kipas angin tidak berfungsi dan semua pintu premis peniaga pasar basah rosak serta tidak boleh dikunci.

Bahkan, pasar berkenaan hanya ‘indah khabar dari rupa’ kerana tandasnya yang kotor, busuk serta menjijikkan para pengunjung.

Sistem perparitan serta pembentungan yang tidak mengikut ‘spesifikasi’ menyebabkan pelbagai masalah timbul dan menyusahkan para peniaga terbabit.

Tinjauan yang dibuat pada Februari 2010, mengesahkan segala keluhan peniaga terbabit.

Seorang peniaga ikan, Encik Mohamad Zawai Mustafa, 42, berkata aduan kepada pihak MPk pernah dibuat tetapi tiada tindakan bersungguh oleh pihak berwajib kerajaan tempatan itu.

“Kami (peniaga) ada buat beberapa kali aduan tentang masalah dan kerosakan, cuma mereka (pihak berkuasa) datang dan baiki sikit-sikit.
“Masalah besar kita (peniaga) sistem pembentungan tersumbat, kebocoran dan banjir setiap kali hari hujan,” ujarnya.

Menurutnya, setiap blok premis tersebut disewa dengan pihak MPk antara RM60 hingga RM120 sebulan.

Rakannya, Shamsuddin Othman, 53, mendakwa hasil perniagaan di Pasar Binjai Souq yang baru ini kurang memuaskan.

Katanya, hasil jualan rata-rata para peniaga merosot antara 30 hingga 40 peratus dari pasar lama sebelum ini.

Menurutnya, pelbagai masalah dihadapi oleh para peniaga serta pengunjung pasar terutama dari segi keselamatan.

“Jualan kami (peniaga) merosot hampir 30 hingga 40 peratus dari tempat (pasar) lama dahulu.
“Kami (peniaga) tidak tolak pembangunan tetapi biarlah ‘benda’ (keadaan) yang lebih baik dan memuaskan,” jelasnya.

Katanya, kebimbangan para peniaga dan pengunjung tentang ‘CF’ kerana banyak kerosakan dan kecacatan dapat dilihat di pasar tersebut.
Menurutnya, projek Pasar Binjai Souq ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak mengikut ‘spesifikasi’ yang betul.

Sementara itu, seorang aktivis Kebajikan dan Kemasyarakatan Kemaman, Encik Zulkifli Mohd Yakim mahukan pihak MPk segera memberi perhatian tentang masalah di Pasar Binjai Souq.

Kata beliau, pelbagai masalah ditimbulkan oleh para peniaga termasuk keselamatan, kebocoran, keretakan struktur bangunan dan sebagainya.

“Saya harap tindakan segera diperlukan untuk baiki dan periksa kembali struktur bangunan (pasar) ini.
“Jika dinding boleh retak, jubin lantai boleh retak dan pecah, pembentungan air boleh melimpah, banjir kilat boleh berlaku sudah tentu ada yang tidak kena,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN Air putih turut mempersoalkan kenapa di bahagian pasar kering satu blok masih belum boleh digunakan dan terbiar sejak setahun lalu.

Menurutnya, bangunan hadapan Pasar Binjai Souq ini umpama ‘gajah putih’ yang tersergam indah tetapi tidak boleh dimanfaatkan.

“Pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPk) diminta menjelaskan kepada orang ramai mengapa bangunan Pasar Binjai Souq ini masih belum digunakan walau pun dikatakan siap sepenuhnya.
“Orang ramai perlu tahu apa statusnya (Binjai Souq), mengapa para peniaga kuih-kuih masih berniaga di luar pasar.
“MPk mesti jelaskan kedudukan sebenar, kebajikan dan keselamatan para peniaga perlu ditentukan,” tegasnya.

Beliau menyifatkan kerja-kerja penyudah atau ‘finishing’ yang dilakukan oleh pihak kontraktor terbabit dibuat secara sambil lewa sekadar siap sahaja.

“Saya lihat ada bahagian penyudah atau ‘finishing’ yang dibuat oleh kontraktor berkenaan ambil jalan mudah dan buat sekadar siap sahaja.
“Pihak penyelia pula tidak amanah dengan memastikan kerja-kerja dilakukan menggunakan bahan dan mengikut spesifikasi ditetapkan,” ujarnya.

Setelah membisu sekian lama, kerajaan akhirnya mengaku terdapat pelbagai masalah yang timbul terhadap Binjai Souq yang didakwa telah siap dibina.

Pada 18 April, 2011 Menteri Besar (MB), Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kesal terhadap konsultan dan arkitek yang tidak menyelia projek dengan sepenuhnya sehingga bangunan yang dibina mempunyai banyak masalah termasuk Bangunan Pasar Binjai Souq.

Ahmad sebagaimana dilaporkan media tempatan berkata, setiap konsultan yang dilantik seharusnya menyelia projek dengan baik kerana ia akan memastikan kelancaran projek seterusnya mengelakkan berlakunya masalah selepas projek siap.

Maklumat terbaru yang diperolehi, pihak kerajaan pada mulanya memutuskan untuk meletupkan dan merobohkan seluruh bangunan Binjai Souq kerana masalah struktur yang dihadapi.

Namun, ia masih belum ada kata putus kerana selain menganggung kos perobohan serta pembersihan kawasan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membina bangunan yang baru.

Justeru,  pasar Binjai atau Binjai Souq 48 buah premis perniagaan dan 24 buah gerai basah akan terus kekal menjadi ‘Monumen Salah Urus’ Kerajaan Umno dan Barisan Nasional Terengganu.

Ulasan