Umno-BN Tidak Mampu Mengikat Hati Rakyat

SETIU – Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah sebuah parti pilihan kerana tidak lagi mampu mengumpulkan sokongan dan mengikat hati rakyat melainkan dengan tarikan kebendaan dan pemberian wang.

Menurut Naib Yang DiPertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim, Presiden Umno Dato’ Seri Najib Razak  kononnya berbangga dengan penyertaan ramai pada perhimpunan sambutan ulang tahun ke-66 Umno yang diadakan di stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

Sedangkan katanya, mereka yang hadir itu ditanggung sepenuhnya, kenderaan, makan minum penginapan, malah diberi wang saku sebanyak RM100.

Katanya, beliau yang berkebetulan ada di Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu telah bertemu sendiri dengan pemuda-pemuda yang menyertai himpunan tersebut.

“kita tanya khabar (kepada peserta himpunan Umno) mari berapa malam, dua malam dia kata, duduk dimana? Kalau (peserta) Dun Jabi tu dia duduk di hotel Vistana,

“(semua) orang bayar belaka, (dapat T-Shirt) sehelai dan duit poket RM100 setiap orang,”ujarnya.

Dr. Azman yang juga anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata demikian ketika berucap dalam program Motivasi Muslimat DUN Jabi pada Khamis, 17 Mei.

Oleh sebab itu, katanya, Perdana Menteri tidak dapat lagi menentukan tarikh pilihanraya  umum yang ke-13 (PRU-13) akan datang.

Namun begitu, beliau mengingatkan semua jentera PAS supaya bersiap sedia pada bila masa-masa menghadapi PRU-13.

Memetik perbidalan bahasa Arab, beliau berkata ‘setiap yang akan datang’ itu adalah dekat dan sesungguhnya PRU-13 itu semakin dekat.

Turut menyampaikan ucapan motivasi adalah Ketua Muslimat PAS Johor, Cikgu Normala Sudirman.

Ulasan