Ustaz Khalil Syukur, Keluarganya Selamat


MARANG - Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, 35, telah bertindak berani dan bersegera mengejar seorang peragut pada Isnin malam 21 Mei serta berjaya mencegah ‘kemungkaran’ jenayah yang berlaku.

Beliau yang terpaksa bergelut, berjaya menangkap suspek yang cuba meragut beg tangan isterinya di sebuah restoran di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Katanya, kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.10 malam, ketika beliau dan isterinya Dr Farhana Hasbullah, 32, sedang menikmati makan malam bersama dua anak mereka, Omar, 3, dan Ali, 9 bulan.

[Gambar kanan atas - dirakam ketika kejadian berlaku, suspek terbaring di atas tanah dan Ustaz Khalil mengelap darah yang mengalir di betisnya]


Ustaz Muhammad Khalil adalah anak kepada Presiden PAS, Dato’ Seri TuanGuru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, beliau sekeluarga singgah untuk makan malam di restoran itu selepas isterinya mengeluarkan sejumlah wang dari mesin pengeluara wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak berhampiran.

Katanya, ketika sedang menikmati juadah ‘nasi Arab’ di restoran itu, beliau lihat suspek yang membonceng sebuah motosikal masuk ke restoran dan menuju ke arah tempat membasuh tangan sambil memesan lapan bungkus nasi.

“Secara tiba-tiba dia (suspek) menyambar beg tangan milik isteri di atas meja hingga menyebabkan isteri dan anak dalam ribaannya berusia 9 bulan jatuh dari kerusi selepas cuba menghalang suspek melarikan beg tangannya,

“Saya kemudian mengejar suspek dan berlaku sedikit pergelutan tetapi berjaya menangkapnya. Pergelutan itu menyebabkan sebatang jari saya patah dan betis kanan mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rusila, di sini Selasa 22 Mei.

[Gambar kiri - Ustaz Khalil selepas mendapatkan rawatan diberitahu jarinya patah akibat pergelutan yang berlaku]

Menurutnya, keadaan kelam kabut itu menyebabkan rakan suspek yang menunggu dengan motosikal, panik dan melarikan diri.

Katanya, suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Saya bersyukur kerana isteri dan anak selamat walaupun saya mengalami sedikit kecederaan akibat pergelutan dengan suspek.

“Saya kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu,” katanya

Ulasan