Himpun dan Ingat; Polis Janji Beri Kerjasama


KUALA TERENGGANU – Polis berjanji akan memberikan kerjasama menjayakan perhimpunan sempena memperingati 3 tahun runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan diadakan di perkarangan stadium tersebut pada Jumaat 8 Jun 2012.

Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Zaidah Abdullah, perkara tersebut dinyatakan dalam perbincangannya dengan pihak polis semalam, Rabu 6 Jun.

“Saya dan Ustaz Saiful Ambiya (Pengarah Amal) telah berjumpa (dengan) OCPD Kuala Terengganu ASP Zamri dan DSP Hairudin bagi berbincang perjalanan program (Himpun dan Ingat).

“Polis janji bagi kerjasama penuh dengan meminta kita mematuhi beberapa peraturan, pihak polis juga sudah berunding dengan pihak stadium untuk benarkan himpunan,”ujarnya melalui system pesanan ringkas yang dihantar kepada buletinonline.

Katanya, pihak polis akan memberikan kerjasama mengawal lalu lintas manakala Unit Amal dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan peserta Himpun dan Ingat.

Oleh itu, beliau berharap semua pihak yang prihatin dapat beramai-ramai hadir dan menyertai Himpun dan Ingat, tragedi yang memalukan rakyat negeri Terengganu dan Negara umumnya.

Menurutnya, penyertaan semua pihak ke himpunan tersebut amat penting kerana tragedi bumbung stadium runtuh merupakan lambang pembaziran, rasuah, salah guna dan kerakusan pemimpin Umno Terengganu

Justeru, katanya, para peserta yang berhasrat bersama-sama ‘Himpun dan Ingat’ yang bermula pada jam 5 petang itu dapat hadir secara tertib dan menunjukkan disiplin yang tinggi.

“Himpun dan Ingat amat penting kepada semua rakyat Terengganu dan Malaysia kerana ia merupakan lambang pembaziran, rasuah, salah guna dan kerakusan pemimpin Umno Terengganu,

“kepada semua yang ingin bersama-sama dengan ‘Himpun dan Ingat’, dapat hadir secara teratur, tertib dan berdisiplin,

“para peserta boleh hadir melalui pintu masuk bertentangan sekolah memandu PSM (pintu belakang kompleks sukan),”tambahnya.

Ulasan