Menjelang Himpunan Hijau & PGU04; Masa Untuk Realisasikan 'PAS Ganti Umno'


KUALA TERENGGANU – Timbalan Pesuruhjaya 3, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Dr Alias Razak berkata moto ‘PAS Ganti Umno’ (PGU) kini adalah ‘slogan massa’ yang menjadi sebutan dan meniti di bibir-bibir rakyat Terengganu.

Oleh itu, menurutnya, ia perlu direalisasikan dengan rakyat mengundi PAS dan Pakatan Rakyat pada  pilihanraya umum ke-13 akan datang.


“kita hendak jadikan slogan PAS Ganti Umno ini dapat jadikan suatu slogan massa, slogan orang ramai dan bukan sekadar di kalangan orang PAS dan Pakatan Rakyat sahaja.

“Tetapi rakyat umum, orang atas pagar pun jadi ‘buah mulut’ mereka dan dapat diterjemahkan dalam kertas undi pilihan raya akan datang,”ujarnya ketika ditemui.

Sehubungan itu, beliau berkata, program Himpunan Hijau ke Putrajaya dan PAS Ganti Umno (PGU) 4.0 pada 29 dan 30 Jun 2012 adalah pembakar semangat rakyat bagi membuat perubahan di negeri ini.

Katanya, bagi tujuan itu, PAS Terengganu tidak perlu menang besar, namun cukup sekadar majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan baru buat kali ketiga.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat, ahli-ahli PAS pendokong dan penyokong serta ahli-ahli parti Pakatan Rakyat, untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan Hujau & PGU04 bagi memberi sokongan kepada PAS.

“Saya menyeru kepada ahli PAS, penyokong dan pendokong parti agar dapat hadir beramai-ramai ke perhimpunan tersebut. Kita (PAS) tunjuk ‘gah’ kita, biar pihak lawan terutama Umno-BN rasa gerun,

“Respon (reaksi) rakyat bawahan yang saya temui dan dilaporkan seolah-olah tidak sabar untuk menunggu tiba masa pilihan raya kali ini. PAS telah bersedia untuk menerima dan memikul amanah rakyat.

“Sebab PAS bukan lagi keseorangan tetapi dibantu dengan penyertaan bekas-bekas pegawai di kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, golongan cerdik pandai, pentadbir dan sebagainya,”jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah program HimpunanHijau & PGU04 menegaskan, PAS mempunyai pengalaman dan sudah bersedia untuk memikul amanah rakyat bagi menggantikan Umno-BN yang sudah tidak relevan lagi.

Katanya, Umno-BN dalam situasi lemah dan ‘difensif’ serta tidak berani untuk buat pilihan raya lebih awal sebagaimana yang dijangkakan sebelum ini.

“Mereka (Umno-BN) berada dalam ketakutan dan kita (PAS) akan asak dengan lebih kuat lagi,”tambahnya

Lokasi Himpunan selama dua hari dua malam itu adalah di Kampung Padang Mengkuang, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong dan Parlimen Marang.

Pelbagai acara dianjurkan dalam program selama dua hari dua malam termasuk konvoi motosikal berkuasa tinggi, ceramah, santai bersama selibriti, kuliah dan pameran serta jualan pelbagai gerai.

Bersekali dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri pula akan melanjutkan himpunan Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman Alor Setar pada 1 Jun lalu.

Antara program yang diadakan adalah bicara bersama pimpinan pemuda dan konsert hiburan alernatif yang turut menampilkan artis terbaru yang menyertai PAS, pelakun Hairi Othman.

Ulasan