Walaupun Mat Zan DiPecat , Penggantinya Belum Melonjakkan ‘Ranking’ Terengganu


KUALA TERENGGANU - Awan mendung yang menyelubungi  pasukan bolasepak negeri Terengganu belum berlalu, walaupun Ketua Jurulatihnya Mat Zan Mat Aris ‘dipecat’ dan ‘Mat Saleh’ Peter Butler masuk mengambil alih.

Mat Zan direhatkan selama dua minggu bermula awal Mei, kemudiannya meninggalkan skuad penyu kerana ‘ditohmah’menjadi punca kemerosotan prestasi pasukan.

Namun begitu, setelah lima perlawanan Liga Super dikendalikan bekas pemain professional England itu, prestasi penyu masih tidak menyerlah.

Terengganu hanya menang dengan ‘adiknya’ pasukan T-Team, seri tiga kali menentang Sarawak, PKNS dan Kelantan serta kalah ketika menentang Lion XII FC.

‘Ranking’ Terengganu berdasarkan jadual malaysiansuperleague.com menduduki tempat keenam dengan meraih 31 mata, jauh ditinggalkan pendahulu liga, Lion XII FC yang selesa dengan pungutan 50 mata.

‘Sakit’ pasukan Terengganu seolah-olah menjadi wabak yang turut menjangkiti pasukan T-Team, walaupun tidak penah dibimbing oleh Mat Zan Mat Aris.

Menurut laporan Bernama, faktor mengingkari arahan dan hilang semangat juang dalam beberapa saingan Liga Super sejak kebelakangan ini antara sebab prestasi pasukan T-Team kian merosot hingga menjejaskan sasaran carta empat teratas.

Masalah membelenggu skuad penyu muda ini nyata menggusarkan jurulatih mereka, Yunus Alif dalam mengharungi enam baki perlawanan liga sebelum ia berakhir seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan (14 Julai).

Jurulatih berusia 54 tahun ini memberitahu anak buahnya itu seolah-olah berada dalam keadaan 'tidak tenang' ketika berada di atas padang.

"Apa yang menyedihkan, pemain tidak mematuhi arahan dan mempraktikkan apa yang diajar apabila mengekang asakan pasukan lawan.

Pasukan Terengganu berbaki 5 perlawanan lagi, menentang Kedah, Kuala Lumpur, Sabah, Johor FC dan Selangor sebelum Liga Super menutup tirainya pada 14 Julai.

Kelam kabut pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memuncak pada 22 April lalu apabila kira-kira 100 penyokong bertindak menyerang kediaman Presidennya Datuk Che Mat Jusoh.

Sebelum itu, ekoran kekalahan 1-2 skuad Penyu kepada KL Sime-Darby dalam perlawanan Piala FA, laungan mendesak Che Mat Jusoh meletakkan jawatan (gambar)  telah bergema di Stadium Sultan Ismail.

Akhirnya Terengganu terlepas tiket ke perlawan akhir apabila hanya seri 0-0 dengan Sime Darby pada separuh akhir kedua yang di adakan di stadium Selayang pada 1 Mei.

Perlawanan itu menjadi noktah kepada Mat Zan Mat Aris yang terpaksa menjadi korban walaupun kontraknya sebagai Ketua jurulatih masih berbaki selama 7 bulan.

Mat Zan menjadi ‘kambing hitam’ walaupun berjaya membawa pasukan Terengganu layak untuk pusingan kedua Piala AFC dan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA serta menduduki tempat ketiga dalam Liga Super.

Ulasan