Dakwa Amil Yang Dituduh Tidak Amanah Sekiranya Benar!


MARANG - PAS menggesa kerajaan negeri Terengganu khususnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) agar membawa amil-amil yang tidak amanah ke muka pengadilan untuk didakwa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata sekiranya benar sebagaimana yang didakwa, kerajaan negeri dan MAIDAM tidak harus berdiam diri kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai.


"saya menggesa kerajaan negeri dan pihak MAIDAM membawa para amil yang tidak amanah itu ke muka pengadilan untuk didakwa di mahkamah, ia adalah kepentingan orang ramai khususnya umat Islam di negeri ini,"tegasnya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong berkata demikian ketika mengulas tentang laporan isu pemecatan 39 orang amil yang dikatakan tidak beramanah oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Sebuah akhbar tempatan pada Ahad 1hb Julai melaporkan tindakan pemecatan amil-amil oleh Maidam itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Menurut akhbar tersebut (gambar kanan), Khazan berkata, pemecatan serta merta itu dilihat wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Turut disebut dalam laporan itu adalah kenyataan Yang DiPertua Maidam, Datuk Mazlan Hashim yang berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan mereka dan tindakan tegas yang diambil itu merupakan pengajaran kepada yang lain agar tidak sesekali mengulangi kesalahan yang sama.

Sehubungan itui, Ustaz Mohd Nor meminta Maidam menyenaraikan sepenuhnya kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh amil-amil tersebut agar rakyat mengetahui perihal perilaku tidak amanah itu.

“Saya menyarankan MAIDAM seharusnya menyenaraikan sepenuhnya kesalahan-kesalahan mereka itu, bukan hanya sebahagian sahaja, Kita minta supaya mereka didakwa atas kesalahan ini kerana kita bimbang berlaku kezaliman ke atas amil-amil ini dan ini sepatutnya MAIDAM hindari,

"Sekiranya ada diantara amil-amil tersebut merasakan diri mereka dizalimi maka kita mohon agar mereka sedia menyatakan sikap mereka atas hal ini,”kata beliau.

Tambah beliau lagi isu ini perlu ditangani dengan serius kerana ia mungkin boleh menyebabkan kepercayaan orang ramai kepada amil-amil akan musnah.

Ulasan