Sidang Dun Terengganu Hanya Tiga Jam!

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita63/tolak%20usul1.jpgKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan masa sidang Dun pada 13 Ogos, terlalu singkat dan amat mendukacitakan.

Beliau berkata, kerana masa sidang yang singkat menyebabkan banyak persoalan serta masalah rakyat tidak dapat disampaikan kepada kerajaan.


“Rasa tidak puas hati, dukacita dan kesal saya pada persidangan Dun (Terengganu) kali ini kerana banyak soalan-soalan lisan Adun yang ditolak. Saya ada tujuh soalan iaitu dua lisan dan lima bertulis, kesemuanya ditolak.

“Dia (kerajaan) hendak susut (sembunyi) punca sebab banyak persoalan yang tidak boleh dijawab wakil kerajaan Barisan Nasional Terengganu ini,” ujarnya

Sehubungan itu, Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata penolakan usul tergempar yang melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai dan perlu disegerakan bukti kerajaan Umno-BN tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Katanya, isu tanah kerajaan yang terlelong hampir 60 ekar termasuk bangunan banglo, rumah teres dan bangunan kedai langsung tidak dipedulikan.

“Ini isu besar yang melibatkan tanah kerajaan, harta rakyat Terengganu yang terlelong kepada syarikat bukan bumiputera tapi kerajaan BN tidak peduli.

“Tapi masa bersidang di dewan (Undangan Negeri) sangat singkat, banyak soalan-soalan tidak terjawab dan amat mendukacitakan kita (PAS),” ujarnya.

Manakala Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berpendapat kerajaan Umno-BN Terengganu wajar ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ini kerana, katanya terlalu banyak kelemahan, kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam pemerintahan yang cuba disembunyikan.

“Kita (PAS) hendak berbahas dan bertanya persoalan (isu) yang berlaku tidak ada masa yang mencukupi. Buat sidang Dun Terengganu pun sekadar ‘melepas batuk di tangga’ sahaja.
“Kesimpulannya, kita (rakyat) kena tukar kerajaan (BN) ini untuk menyelamatkan harta negeri, harta rakyat dan harta negara,” tegasnya.

Menurutnya, banyak persoalan di Dungun yang tidak terjawab dengan baik dan mengelak dari menjawab dengan tepat.

Sepatutnya, kata Ustaz Wan Hassan, pada bulan Ramadan ini kerajaan perlu bersikap terbuka dan berlapang dada mendengar permasalahan rakyat.

Ulasan