Pengasuh Terengganu Desak Kerajaan Kecualikan Gaji Minima

KUALA TERENGGANU - Presiden Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu, Noraini Mustafa  berkata seramai 80 orang pengusaha Taska  dan pengusaha Taska negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara mendesak pengecualian gaji minima.

Menurutnya, pengumuman Pardana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenakan kadar gaji minima RM900 sebulan mendapat tentangan dari Pengusaha Taska dan Tadika Swasta di Terengganu.

Malah, jika cadangan tersebut dilaksanakan sejumlah lebih 117 buah taska berdaftar di negeri ini bakal ditutup kerana ketidakmampuan majikan membayar gaji pekerjanya.

“Pada hari ini, 20 Disember 2012 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu. Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu bersama 80 orang pengusaha Taska  dan pengusaha Tadika swasta negeri Terengganu bersetuju dengan sebulat suara meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mempertimbangkan permintaan kami.

“Semua pengusaha taska dan pengusaha tadika bersetuju untuk mendesak pengecualian gaji minima kepada kakitangan taska dan tadika swasta, kerana jika tidak kami terpaksa menutup taska dan tadika kerana tidak mampu membayar gaji pekerja dengan pendapatan yang kami ada, kerana kami tertakluk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan nisbah kanak-kanak terlalu sedikit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membaca resolusi yang dipersetujui bersama pada Majlis Perbincangan Persatuan Pengasuh Negeri Terengganu di Dewan Seminar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, dekat sini, 20 Disember lalu.

Menurutnya, peraturan tersebut akan dikuatkuasakan pada Januari 2013 kepada semua pekerja sektor swasta termasuk pengusaha taska dan tadika di seluruh negara.

Puan Noraini menjelaskan terdapat 117 buah berdaftar dari 127 buah taska yang diusahakan di seluruh negeri Terengganu.

Manakala, kata beliau, jika pengusaha-pengusaha menutup taska terbabit akan menjejaskan lebih 600 orang kakitangannya tidak termasuk pengusaha tadika swasta.

“Kami (persatuan) mohon supaya pengecualian itu kepada Taska dan Tadika Swasta. Ini melibatkan 117 buah taska berdaftar dari 127 buah yang ada di negeri Terengganu dan melibatkan lebih 600 orang pekerja taska sahaja.

“Kami (pengusaha) juga menghadapi masalah dengan 34 buah Taska Permata di Terengganu yang ditanggung 100 peratus oleh kerajaan. Kami tidak mampu bersaing dengan kerajaan,” ujarnya dengan hiba.

Harakah dimaklumkan, kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam) manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam).

Ulasan