Pluralisme Tidak Salah Kepada Bukan Islam

KUALA TERENGGANU - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak kisah dengan gambaran DAP berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu termasuk menyifatkan hubungan mereka berdasarkan atas prinsip pluralisme atau kepelbagaian agama.

Ini kerana, katanya, pluralisme merupakan satu bentuk fahaman yang tidak boleh dipaksa terhadap orang bukan Islam.

Namun, Ustaz Abudl Hadi menegaskan bahawa orang Islam mesti berpendirian tegas terhadap agama sendiri serta tidak terpengaruh dengan pluralisme.

“Pluralisme itu merupakan kehidupan manusia yang kita (Islam) tidak boleh paksa dan kita tegas dengan agama kita (Islam) sendiri kerana Allah Taala membawa dua pendekatan yang pertama, tiada agama yang Allah terima melainkan Islam.

“Yang kedua, tiada paksaan dalam agama sebab itu dalam negara Islam diizinkan bukan Islam jadi rakyat,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 6.0 di Simpang Santong Paka, Dungun, 15 Disember lalu.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat serta dihadiri oleh pimpinan PAS disemua peringkat termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu.

Mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu mendekati dan bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat bukan kerana negara Islam tetapi atas prinsip galakan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak wanita dan pembangunan negara.

Mengulas lanjut, Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan kerjasama PAS dan DAP berlaku atas titik persamaan dengan membiarkan hak masing-masing dalam perkara berbeza termasuklah soal hudud.

“Kita (PAS) bersama-sama dengan parti DAP dalam menentang kezaliman, menentang ISA, OSA, penyelewengan, ekonomi, rasuah... itu sama (kerjasama). Tapi dalam hal hudud dan Qisas itu tidak sama (berbeza).

“Bahkan, kita (PAS) kemukakan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelatan dan Terenganu di mana kita buat kelonggaran yang diizinkan Islam, di mana orang bukan Islam boleh pilih mana undang-undang yang dia mahu,” ujarnya.

Sebaliknya, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan gabungan Umno bersama rakan-rakan komponen bukan Islam dalam Barisan Nasional sebagai hanyut, berbeza dengan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Ustaz Abdul hadi mendakwa, Umno tidak mampu menghalang orang Islam melakukan maksiat tidak sebagaimana ketegasan yang ditunjukkan Kerajaan PAS di Kelantan.

“Umno tidak konsisten dalam kerjasama dengan MCA, dia hanyut. Dia (Umno) hanyut halal haram umpamanya menutup tempat judi.

“Dia (Umno) tidak boleh halang orang Melayu pergi berjudi. Kita (PAS) di Kelantan kita benarkan orang bukan Islam yang diizinkan agama dia, orang Islam kita sekat. Kita ambil tindakan, itu sebagai satu contoh,” tegasnya.

Pada akhir perhimpunan tersebut hujan turun dengan lebatnya tetapi tidak menghalang hampir 10,000 orang hadirin yang ingin mendengar Amanat dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ulasan