Referendum Mesir - Majoriti Kecil Pusingan Pertama Yang Memberangsangkan

KAHERAH - Majoriti kecil rakyat Mesir menyokong satu perlembagaan baru yang dipertikaikan tetapi disokong oleh Presiden Mohamed Mursi dan sekutu-sekutu parti Islamnya dalam pusingan pertama pungutan suara di negara itu, kata parti-parti Islam dan sekumpulan pembangkang, semalam, sambil memetik keputusan tidak rasmi.

Undian pungutan suara di 10 wilayah Mesir, termasuk di Kahirah, kelmarin, diadakan selepas berlakunya protes besar-besaran yang dianjurkan oleh sebuah pakatan pembangkang yang pada mulanya bertujuan membatalkan pungutan suara itu, sebelum ia mengeluarkan gesaan pada detik-detik terakhir menolak draf perlembagaan itu.

Keputusan tidak rasmi pusingan pertama itu, yang didasarkan atas kiraan yang dilakukan oleh para pegawai pengundian, adalah jauh lebih kecil daripada kemenangan besar yang diharapkan oleh parti-parti Islam Mesir.

Pada pagi semalam, dengan kebanyakan daripada undiannya sudah dikira, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang dipimpin Encik Mursi, menerusi laman webnya, berkata bahawa 56.5 peratus mengundi menyokong perlembagaan tersebut pada pungutan suara yang diadakan secara tergesa-gesa itu.

Perangkaan ini adalah sama dengan yang dilaporkan oleh media Mesir.

Undian pusingan kedua akan diadakan pada Sabtu ini, selepas keputusan pusingan pertama itu diketahui secara rasmi.

Pakatan pembangkang utama, Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF), kelmarin mengumumkan selepas pengundian ditutup bahawa hampir dua pertiga daripada pengundi telah menolak perlembagaan yang didraf oleh sebuah majlis yang dikuasai parti-parti Islam.

Namun, komponen utama pakatan itu, Popular Current, melaporkan dalam ruang laman Facebooknya, pagi semalam, bahawa sekitar 56 peratus pengundi telah menyokong perlembagaan berkenaan, dengan pengiraannya yang hampir selesai.

Pertempuran ganas tercetus di antara para penyokong dengan pembangkang perlembagaan itu di dua bandar terbesar Mesir - Kahirah dan Iskandariah - sejak tiga hari lalu, dengan pihak polis menghalang satu serangan penyokong parti Islam ke atas ibu pejabat parti liberal Wafd di Kahirah pada malam kelmarin.

Menurut keputusan awal itu, majoriti yang mengundi menentang perlembagaan itu adalah di ibu kota Mesir, kubu pihak pembangkang.

Jika perlembagaan itu diluluskan, Encik Mursi berharap ia akan menamatkan tempoh peralihan huru-hara selama hampir dua tahun di Mesir, selepas satu pemberontakan besar-besaran berjaya menggulingkan bekas presidennya, Encik Hosni Mubarak, yang diikuti oleh pemerintahan tentera sebelum pilihan raya yang memberi kemenangan kepada Encik Mursi.

Kenyataan dari BILIK OPERASI PARTI KEBEBASAN DAN KEADILAN (FJP):

Setelah kiraan 99 peratus pusat pengundian di 10 wilayah terlibat, keputusan mengikut wilayah sepertimana berikut:

ASWAN
Setuju: 149,512 (76.4%)
Tidak Setuju: 46,099 (23.6%)

ASYUT
Setuju: 450,773 (76.5%)
Tidak Setuju: 138,472 (23.5%)

ISKANDARIAH
Setuju: 665,985 (55.6%)
Tidak Setuju: 531,221 (44.4%)

KAHERAH
Setuju: 950,532 (43.1%)
Tidak Setuju: 1,256,248 (56.9%)

DAQAHLIYAH
Setuju: 649,319 (55.1%)
Tidak Setuju:528,678 (44.9%)

GHARBIYAH
Setuju: 468,242 (47.9%)
Tidak Setuju: 509,939 (52.1%)

SINAI UTARA:
Setuju: 50,924 (78.3%)
Tidak Setuju: 14,111 (21.7%)

SINAI SELATAN
Setuju: 12,165 (63.9%)
Tidak Setuju: 6,866 (36.1%)

SUHAG
Setuju: 468,781 (78.8%)
Tidak Setuju: 126,396 (21.2%)

SYARQIYAH
Setuju: 737,877 (65.9%)
Tidak Setuju: 381,964 (34.1%)

Ulasan