Umno-BN Sudah tergelincir, Kata Tokoh Korporat Mokhtar Hamid

DUNGUN - Perjuangan Umno dan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) wajar ditinggal oleh orang Melayu kerana telah tergelincir dari landasannya yang sebenar.

Tokoh korporat, Encik Mokhtar Hamid, 68, yang baru menyertai PAS serta menyerahkan boring keahlian parti kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demikian pada Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) 6.0 di Dataran PGU Paka, Simpang Santong, Dungun pada 15 Disember lalu.

“Umno-BN ibarat keretapi yang tergelincir dari landasannya. Mereka kini sesat dan menyesatkan serta merayu-rayu, menangis di Perhimpunan Agung Umno yang lalu.
Kononnya, mereka (Umno) kesal orang Melayu berpecah-belah, tidak bersatu.

“Apa yang kita (rakyat) lebih kesal apabila orang yang hebat berilmu seperti para mufti, para ilmuan tidak banyak membela hukum-hakam dalam agama Islam seperti hudud.

Saya juga merasa bertanggungjawab untuk membela bangsa dan agama saya. Inilah waktu, sebab saya mungkin tidak mempunyai masa yang panjang untuk berkhidmat kepada PAS,” ujarnya kepada Harakah selepas majlis perasmian tersebut.

Beliau merupakan anak watan di Dun Paka, Dungun berikrar akan terus bersama perjuangan PAS demi bangsa, agama dan negara.

“Saya terfikir bagaimana harapan warga di Dun Paka ini terhadap anak watan seperti saya. Saya di Paka dikenali sebagai ‘Awang Pok’.

“Saya yakin sebenarnya tidak ada perjuangan untuk diabdikan melainkan bersama dengan perjuangan PAS untuk memperjuangan keadilan, kebebasan dan mendirikan sebuah Negara Berkebajikan,” tegasnya.

Mokhtar yang kini tinggal di Taman Uda Jaya, Paka menyifatkan agenda transformasi Dato’ Seri Najib sebagai impian ‘kosong’.

Ini kerana, kata beliau pernah mengenali perjuangan Umno sejak zaman parti Perikatan lagi sebelum Barisan Nasional terbentuk.

“Kita (rakyat) harus bersama kepimpinan Pakatan Rakyat dan PAS untuk membuat perubahan menumbangkan Umno dan kerajaan BN.

“Saya pernah bersama dengan Umno dan mengenali dunia politik sejak waktu adanya Parti Perikatan lagi. Sebab itu, Transformasi itu hanya ‘kosong’ yang cuba diberi gambaran yang baik,” jelasnya.

Menurut beliau, rakyat diingatkan agar tidak mudah tertipu kerana Umno tidak memperjuangkan Islam yang sebenarnya.

Ulasan