Bersama Berbakti Dengan Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Dun Jabi

Bergerak di atas konsep bersama kita membantu saudara seperjuangan yang ditimpa ujian dan musibah, Badan Kebajikan dan Khairat Kematian (BKKK) Dun Jabi semakin kukuh mengorak langkah dalam melaksanakan objektifnya setelah menjangkau usia tiga tahun selepas penubuhannya pada 1 Januari 2011. Dengan keahliannya yang kini mencapai angka 400 orang, sepanjang 3 tahun ini, sebanyak RM 20,000 telah dibelanjakan dalam bentuk sumbangan kematian dan RM5,000 dibelanjakan untuk sumbangan-sumbangan kebajikan yang lain.

Fasa tahun pertama penubuhan yang dianggap sukar telah dilalui dengan jayanya terutama untuk pihak Jawatankuasa BKKK Jabi menepis keraguan dan kata-kata sinis masyarakat tentang kemampuan kewangan kami untuk melaksanakan objektif menyumbang RM1,000 bagi setiap kematian ahli dan kita meletakkan sasaran supaya wang sumbangan tersebut dapat diterima waris terdekat sebelum jenazah diusung ke tanah perkuburan.

Berkat kerja keras seluruh jawatankuasa yang terlibat, setakat 3 tahun yang pertama dengan angka 20 kematian ahli dan tanggungannya, janji sumbangan itu mampu dilaksanakan dan dibayar dengan ketepatan 100%.

Kepercayaan masyarakat yang diraih hasil kejayaan ini menyaksikan pertambahan mendadak jumlah keahlian pada tahun kedua penubuhan. Setiap ahli hanya dikenakan yuran tahunan RM10 setahun serta setiap kali berlaku kematian ahli atau tanggungannya, mereka perlu menghulurkan sumbangan RM3 sahaja. Suatu kaedah yang sangat mudah dan praktikal tetapi hasilnya mengkagumkan sehingga menarik minat beberapa orang ahli umno untuk turut mendaftar.

Pernah berlaku kematian seorang ahli di Felda Selasih yang dikenali sebagai lubuk Umno Dun Jabi. Kita hadir menghulurkan sumbangan RM1,000 ketika rumah simati dipenuhi orang-orang kuat Umno Felda. Insiden secara kebetulan ini menjadi buah mulut mereka lantaran di Felda Selasih, mereka juga mempunyai khairat kematian dengan kutipan RM10 setiap ahli apabila  berlaku kematian, tetapi jumlah sumbangan untuk waris simati hanya RM500. Kata mereka… “Orang Pas cuma kutip 3 riyal, mereka boleh bagi 1,000 riyal!”

Fokus BKKK Dun Jabi, bukan hanya setakat dalam hal-hal kematian tatapi menjangkau aspek kebajikan yang lebih luas meliputi sumbangan ketika ahli dilanda musibah dan ujian, sumbangan Ramadhan dan Hari Raya, sumbangan anak-anak yatim dan sebagainya. Kita berhasrat menjadikan BKKK ini jambatan kukuh penghubung antara Pas Dun Jabi dengan masyarakat pelbagai peringkat dengan mempelbagaikan lagi program dan perancangan selaras dengan kemampuan kewangan yang dimiliki. Perancangan terdekat adalah untuk memiliki sebuah van jenazah dan sebuah van pelbagai guna untuk pusat khidmat masyarakat Dun Jabi.

Sumbangan dari para dermawan sangat dihargai dan boleh disalurkan ke akaun MayBank 563046108671 atas nama Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Pas Dun Jabi.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Majli Tindakan DUN Jabi

Ulasan