Empat Pemuda PAS Direman Kerana Fitnah Pengerusi Penaja Umno

MARANG - Tidak boleh ditegur tindakannya memasang kain rentang yang bersifat 'menghasut' dan provokatif, Pengerusi Penaja Penubuhan Umno Cawangan Bukit Chempedak membuat laporan 'fitnah' kepada polis menyebabkan empat pemuda PAS dari Cawangan Kampung Jerung ditahan reman.

Ramly Abdullah, 53, telah melaporkan kepada polis Marang mendakwa kononnya empat individu terbabit menyerang, mencekik serta membuat ugutan bunuh
serta memfitnah mereka mahu mencederakan ahli keluarganya dan membakar rumahnya.

Menurut saksi, kain rentang tersebut dipasang oleh pihak Umno di beberapa lokasi Kampung Jerung Seberang, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan yang mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli-ahli PAS berkenaan.

Kejadian pertengkaran berlaku kira-kira jam 6.30 petang 25 Februari lalu, apabila empat individu terbabit ke rumah Ramly untuk berbincang agar kain rentang tersebut diturunkan kerana berunsur provokasi.

Namun, katanya berlaku sedikit ketegangan tetapi tidak sampai mencetuskan keganasan atau ugutan bunuh seperti dilaporkan pihak media.

Seorang saksi yang enggan disebut namanya berkata pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak terbabit tidak seteruk yang dilaporkan kepada pihak polis.

“Saya ada di tempat kejadian dan melihat mereka (suspek dan Ramly) ‘berbalah’ (bertengkar) mulut dan tidak ada langsung kejadian mencekik, menampar isteri mangsa atau mengugut bunuh.

“Saya tidak terlibat secara langsung tetapi datang (ke rumah Ramly) untuk melihat apabila berlaku pertengkaran mulut antara mereka itu,” jelasnya yang tidak mahu dkenali

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi bagi pihak tertuduh jika berlaku pendakwaan serta perbicaraan di mahkamah.

Para pemuda PAS yang ditahan adalah Roslam Abdullah, 35, Rosdi Abdullah, 34, Muhammad Lukman Abdullah, 28, merupakan adik-beradik yang ditahan reman selama lima hari, termasuk seorang lagi rakan mereka adalah Muhamad Musa, 38.

Selepas kejadian tersebut dipercayai pihak terbabit segera menurunkan kain rentang berkenaan yang jelas tertera logo Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk lambang 1Malaysia.

Ulasan