Empat Teras Utama Manifesto PR Memenuhi Keperluan Rakyat

Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang memberi tumpuan ke atas empat teras utama, yang dilihat merangkumi semua keperluan masyarakat dalam segmen Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Manifesto tersebut telah diumumkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran dalam Konvensyen Pakatan Rakyat, bertempat di Shah Alam Convention Center pada hari ini, Isnin 25 Februari

Dalam teras Rakyat Bersaudara, PR memfokuskan kepada beberapa bahagian, antaranya setiap isteri layak menerima Caruman Wanita Malaysia sebagai jaringan keselamatan sosial menjamin kebajikan mereka.

Di bawah caruman ini, suami wajib di sisi undang-undang mencarum mengikut kadar pendapatan antara RM10 hingga RM100 sebulan dengan syarat caruman ini boleh dikeluarkan isteri dalam keadaan tertentu seperti penceraian, musibah, kemalangan dan genap umur 50 tahun.

Kerajaan juga menyumbang RM50 sebulan kepada setiap isteri dan caruman ini akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Selain itu, PR akan meluaskan Skim Bonus Warga Emas yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang ke seluruh negara, dengan memberi bonus RM1,000 setiap tahun kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Dalam teras ini juga, PR akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi tujuan kemasukan institusi pendidikan tinggi dan kelayakan bagi tujuan permohonan kerja.

Dalam teras Ekonomi Rakyat, PR mengulangi janji-janji yang telah diumumkan sebelum ini, antaranya setiap keluarga di negara ini akan membawa pulang pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan selepas penggal pertama pemerintahan PR di Putrajaya.

PR turut mengulangi janji gaji minimum dengan setiap pekerja akan dibayar sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan.

Selain itu, PR mengumumkan cukai rakyat diselaraskan demi kesaksamaan antara pendapatan tinggi dan sederhana.

Jalur pendapatan akan dilebarkan agar kadar cukai 26 peratus hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,000 ke atas berbanding RM250,000 sekarang.

Teras ketiga, PR bertekad menurunkan harga minyak sejurus selepas PR berjaya menawan Putrajaya. Selain itu, caj elektrik diturunkan dengan PR menyalurkan subsidi berjumlah RM25 bilion terus kepada rakyat.

Penghapusan tol secara berperingkat juga dimasukkan dalam manifesto ini, seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga, dengan pembiayaan operasi lebuhraya ditampung dana RM5 bilion.

Selain itu, PR juga akan menghapuskan cukai eksais kereta berjumlah 70 peratus sekarang dalam tempoh lima tahun.

Apa yang menarik dalam manifesto ini, PR berjanji akan menghapuskan Sistem Perlaksanaan Automatik (AES) dan membatalkan saman yang telah dikeluarkan.

Dalam teras terakhir, antara intipati menarik adalah PR akan menghapuskan semua undang-undang yang menyekat kebebasan media terutamanya Akta Percetakan dan Penerbitan dan prosedur perlesenan media.

Ulasan