Majlis Industri Buku Kesal Penyelewengan BB1M

Kami, Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) yang mewakili persatuan-persatuan dalam  industri buku di Malaysia Menyokong penuh atas inisiatif dan usaha kerajaan memberikan Baucar Buku (BB1M) kepada pelajar-pelajar di peringkat pengajian tertiary yang berjumlah 1.3 juta dan melibatkan  perbelanjaan kerajaan sebanyak RM325 juta.

Pemberian Baucar Buku ini merupakan inisiatif tahun kedua yang bertujuan mengurangkan bebanan kewangan para pelajar untuk membeli buku-buku rujukan di samping menggalakkan masyarakat membaca. Di samping itu, bagi memastikan pelaksanaan BB1M mencapai objektifnya maka pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan Garis Panduan Baucar Buku 1 Malaysia.

Antara lainnya menjelaskan bahawa para pelajar boleh menggunakan Baucar Buku ini untuk membeli buku-buku rujukan sahaja kecuali bagi menggenapkan pembelian maka pelajar-pelajar dibenarkan membeli alat-alat tulis.

Namun begitu terdapat penyalahgunaan Baucar Buku tersebut kerana pelajar-pelajar telah dibenarkan menukar Baucar Buku tersebut dengan peralatan komputer, telefon    bimbit, pakaian, topup, makanan dan pelbagai lagi. Beberapa kes yang terkesan sehingga kini antaranya adalah:

1. Pameran buku di Politeknik Shah Alam yang mengizinkan penyertaan dan penebusan BB1M dengan aksesori telefon bimbit, komputer, makanan, pakaian dan tudung.
2. Pameran buku di UIAM Gombak yang menawarkan penebusan BB1M dengan    pelbagai gadjet dan barangan IT.
3. Pameran buku di UMP Pahang yang menawarkan penebusan BB1M dengan barangan IT juga aksesori cermin mata.
4. Pameran buku di UTM Skudai yang menawarkan penebusan BB1M dengan pelbagai gadjet komputer dan IT.
5. Pameran buku di UiTM Sri Iskandar dengan hanya 4 gerai penerbit buku dan lebih 10 gerai yang menawarkan  pakaian, tudung dan pelbagai barangan lain untuk penebusan BB1M.

Ini adalah hanya sebahagian daripada salah guna BB1M yang telah berlaku dan terus berlaku melalui pelbagai pameran buku di IPTA/IPTS dan pelbagai pameran lain.  Banyak kes lain yang   tidak  kami sebutkan di sini.

Justeru itu, Majlis Industri Buku Malaysia dengan ini mendesak supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya segera mengambil tindakan pemantauan bagi memastikan Garis Panduan Baucar Buku 1 Malaysia dipatuhi.

Kami juga menggesa semua IPT, IPTS atau mana-mana pihak yang menganjurkan pameran dan pesta buku untuk penebusan BB1M memastikan bahawa hanya penerbit dan pembekalan bahan yang berkaitan dengan buku dan alat bantuan pengajaran diizinkan mengambil bahagian.

Semua peniaga, pedagang dan pembekal yang mengambil kesempatan untuk menawarkan penebusan kepada mahasiswa/pelajar dengan bahan selain buku dan alat tulis segera menghentikan tindakan mereka dan Mahasiwa/pelajar yang mendapat BB1M menggunakan baucar tersebut secara   bijaksana dengan penebusan sekurang-kurangnya 80% buku dan selebihnya alat  tulis & alat bantuan pembelajaran, mengikut Garis Panduan BB1M yang dikeluarkan oleh KPT.

Kami ingin menyeru agar seluruh lapisan masyarakat bersama-sama mendukung hasrat kerajaan untuk membantu golongan mahasiswa/pelajar mencapai kecemerlangan akademik melalui bahan bacaan yang bermutu.  Laporan kepada pihak berwajib dan tindakan undang-undang  perlu dilakukan jika mana-mana pihak masih terus mengambil kesempatan melalui salah guna BB1M.

Hj Mohd Ramly Hj Ngah Idris
Pengerusi,
Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC)
Bertarikh: 28 Februari 2013.

Mewakili persatuan-persatuan dalam  industri buku di Malaysia iaitu:-

i. Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA)
ii. Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPBBM)
iii. Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA)
iv. Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA); dan
v. Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM)

Ulasan