Calon Muda Pengkalan Berangan Seru Rakyat Memilih Dengan Pertimbangan Iman dan Taqwa

MARANG - Calon muda bagi kerusi N.20 Dun Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong menyatakan keyakinan bahawa PAS mampu untuk merampas kembali DUN Pengkalan Berangan yang pernah dimenangi pada tahun 1999.

Menggalas tanggungjawab membawa agenda anak muda, Ustaz muda ini meletakkan keyakinan bersandarkan kepada sambutan dan penerimaan masyarakat terutamanya anak muda yang mewakili 52% suara pemilih di Dun Pengkalan Berangan.

Lepasan Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir, Sulaiman Sulong mempunyai visi besar untuk membangunkan masyarakat dan mempertingkatkan sosio ekonomi masyarakat setempat.

Menyelami kehidupan masyarakat yang ditemui, berlatarbelakangkan kehidupan kampong, anak jati kelahiran Kampung Tuman, Pengkalan Berangan ini, sangat memahami keadaan dan kehendak masyarakat.

Keutamaan beliau adalah untuk membela masyarakat, mewujudkan masyarakat berkebajikan, juga merupakan agenda utama yang diperjuangkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) .

Beliau mendengar pelbagai rintihan dari masyarakat setempat, sepanjang kempen pilihanraya umum kali ke-13 yang beliau harungi, terutama keluhan dan luahan dari masyarakat berkaitan masalah tanah.

Antaranya adalah masalah tanah yang telah berpuluh tahun diduduki oleh penduduk tetapi masih tidak mendapat hakmilik dari pihak berwajib. 

Manakala, anak-anak muda pula lebih banyak mengutarakan perkara berkaitan keperluan sukan dan rekreasi serta kemudahan awam seperti padang bola dan seumpamanya yang diabaikan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dia sesi lalu.
 
Ustaz Sulaiman berseru kepada semua masyarakat supaya menggunakan hak yang telah dibenarkan dalam ruang demokrasi yang ada, untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan memilih Parti Islam SeMalaysia dan mengundi calonnya, bagi memastikan masa depan yang lebih baik dan terjamin.

Kewajipan sebagai pemilih dan pengundi yang termaktub dalam perlembagaan keatas setiap rakyat Malaysia perlu dilaksanakan dengan pertimbangan iman dan takutkan Allah. Meletakkan ketaatan kepada Allah Taala adalah keutamaan yang mesti dilaksanakan.

Ulasan