Mantan Ketua Pemuda PAS Terengganu Selamat DiSemadikan

http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/suasan%20pilu%20dua%20tok%20guru1.jpgKUALA TERENGGANU - Pengarah Kolej UniversitiDarul Quran Islamiah (KUDQI) Ustaz Mahmood Sulaiman yang meninggal dunia akibat  komplikasi buah pinggangnya dan sakit jantung telah selamat disemadikan selepas solat jenazahnya di imamkan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara pimpinan PAS yang hadir bersama 100 orang ahli jamaah di Masjid Muhamad Mengabang Tengah, Batu Burok selepas solat Asar, petang tadi adalah Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi dengan meninggalkan seorang balu serta lima orang anak yang terdiri dari empat lelaki dan seorang perempuan dan jenazah allahyarham di semadikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Burok, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada jam 5.00 petang.

PAS Terengganu terutamanya warga pendidik dan pejuang Islam kini kehilangan seorang ‘murabbi’ yang banyak jasanya kepada perjuangan dan bidang pendidikan Islam.

Allahyarham Ustaz Mahmood dalam politik pernah menerajui Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu dari tahun 1985 hingga 1991, serta Ketua Pemuda PAS kawasan Kuala Nerus.

Selain itu, allahyarham juga pernah bertanding sebanyak tiga kali atas tiket PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1982 dan 1986 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Langkap dan Teluk Pasu pada tahun 1990.

Beliau juga merupakan Pengarah Kudqi sejak beberapa tahun lalu yang beroperasi di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, Hulu Terengganu.

Pendaftar Kudqi, Ustaz Ismail Osman merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham Ustaz Mahmood dan berharap dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT.

Menurutnya, allahyarham juga diibaratkan sebagai seorang murabbi yang banyak berjasa terutama dalam membangunkan pusat pendidikan Kudqi dan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) di Rusila, Marang.

“Kami, warga Kudqi merakamkan ucapan takziah dengan ‘kehilangan’ seorang guru yang murabbi, yang sangat disenangi oleh semua warga Kudqi sepanjang perkhidmatan allahyarham membangunkan pusat pendidikan Islam ini.

“Kami harap ahli keluarga allahyarham Ustaz Mahmood dapat bersabar dan terima ketentuan Allah SWT ini dengan redha,” ujarnya kepada Harakah.

Katanya, jasa dan pengorbanan allahyarham cukup besar bukan sahaja dalam pendidikan Islam juga dalam politik PAS di negeri Terengganu ini.

Ulasan