PRU-13; PAS - BN Terengganu Hanya Berbeza 1.5 Peratus

http://buletinonline.net/images/stories/aberita19/pc%20dewan%20harian.jpgKUALA TERENGGANU - PAS Terengganu berjaya meningkatkan pencapaian hampir seratus peratus pada Pilihanraya Umum (PRU) Kali Ke-13 berbanding keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, dengan pertambahan 6 kerusi peingkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 2 kerusi parlimen.

Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata pencapaian PAS Terengganu pada pilihan raya umum kali ini boleh dibanggakan meski pun gagal menguasai kerajaan negeri.



Katanya PAS berjaya memenangi tambahan dua kerusi Parlimen di Dungun dan Kuala Nerus, manakala PAS menambah kerusi Dun di Chukai, Paka, Rantau Abang, Alor Limbat, Tepoh dan Teluk Pasu.

Menurutnya, pada pilihan raya tahun 2008 PAS Terengganu berjaya menguasai satu kerusi Parlimen Marang sebelum ditambah dengan Parlimen Kuala Terengganu dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Alhamdulillah, pada pilihan raya (PRU13) kali ini kita (PAS) berjaya tambah hampir 100 peratus pencapaian berbanding (pilihan raya) 2008…iaitu, empat Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri.

“Dulu (2008) kita hanya dapat satu kerusi (parlimen) Marang dan ditambah dengan Kuala Terengganu (menang) pilihan raya kecil (2009) dan lapan kerusi Dun Terengganu,” jelasnya pada satu sidang akhbar di Pusat Media PAS Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, 7 Mei lalu. [Lihat Video]

Beliau yang baru memenangi kerusi N28 Paka, mendakwa perbezaan peratusan undi antara PAS dengan BN hanyalah 1.5 peratus sahaja.

Katanya, kejayaan besar PAS Terengganu pada pilihan raya kali ini kerana mendapat sokongan dari pengundi muda serta pengundi Tionghua.

“Pengundi muda banyak (ramai) yang menyokong kita (PAS) dan termasuk masyarakat dan pengundi Tionghua memberi sokongan kepada kita (Pakatan Rakyat) dan kita hanya kekurangan 1.5 peratus sahaja.

“Kita (PAS) mendapat sokongan 267,112 pengundi seluruh negeri Terengganu. PAS Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan undi kepada PAS pada pilihan raya umum ke-13 ini,” ujarnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Bendahari PAS Terengganu, M Syukrimun Shamsuddin dan Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak.

Justeru, kata Ustaz Satiful, PAS Terengganu telah melantik Setiausaha Politik kepada Presiden PAS iaitu Dr Shamsuri Mokhtar bagi mengetuai jawatankuasa post-mortem PRU13, PAS negeri Terengganu.

Ulasan