Pusat-pusat Khidmat Wakil Rakyat Mula Beroperasi

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/pusat%20khidmat%20parlimen%20KT.jpgKUALA TERENGGANU - Belum sampai tempoh seminggu dinobatkan sebagai wakil rakyat, Pusat Khidmat Adun dan Ahli Parlimen PAS telah dibuka dan mula beroperasi, terutamanya bagi wakil-wakil rakyat yang baru pertama kali dipilih dalam pilihanraya umum kali ke-13 yang lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Ahmad Shah memilih lokasi strategik sebagai pusat khidmatnya yang terletak di Pusat Niaga Paya Keladi, ditengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu berhadapan dengan Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. [Gambar kanan]

Beliau berkata, operasi membersihkan pejabat dan menyiapkan keperluan bagi Pusat Khidmat itu telah bermula pada Khamis lalu dan ia mula dibuka kepada orang ramai pada Ahad 12 Mei.

Pusat tersebut dikongsi bersama dengan Adun Bandar Kuala Terengganu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail yang menempatkan sorang petugas setiap masa waktu pejabat, dari kalangan ahli-ahli dari parti-parti dibawah Pakatan Rakyat.

Di Kuala Nerus, Ahli Parlimennya Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali at-Takiri menjalankan urusan khidmatnya di sebuah rumah kedai yang terletak di kampungnya sendiri, Kampung Baru Seberang Takir.

Manakala bagi Dun Tepoh, Teluk Pasu dan Bukit Tunggal akan meneruskan khidmat di Pusat Khidmat masing-masing di premis yang sudah sedia wujud, sejak sepuluh tahun yang lalu.

Di Marang, khidmat Ahli Parlimen akan diteruskan di Pusat Khidmatnya yang terletak di tingkat bawah bangunan PAS Kawasan Marang, berhadapan masjid Rusila dan Pusat Khidmat Adun Rhu Rendang, di lokasi lama bertempat di  kampung Kijing.

Pusat Khidmat Adun Bukit Payong, menurut Ustaz Mohd Nor Hamzah, masih beroperasi di pasar baru Kedai Buluh dan Pusat Khidmat Adun Alor Limbat di tempat di pejabat Majlis Tindakan Dun Alor Limbat, di Jalan Kepong, kira-kira satu kilometer dari jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang.

Ulasan