Solidariti NGO Terengganu Berhimpun Bersama Safwan Anang

http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/solidariti%20NGO%20Terengganu.jpgKUALA TERENGGANU - Beberapa buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) terdiri dari Sekretariat Royalti Terengganu atau ‘R’, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Gabungan Anak Terengganu (Gate) mengadakan himpunan secara aman di hadapan Pasaraya Giant Terengganu.

Mereka berhimpun sebagai tanda solidariti serta kebersamaan rakyat Terengganu dan Malaysia yang prihatin kepada Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang dalam menuntut demokrasi yang bersih di negara ini.

Penyelaras SAMM Terengganu, Rafzi Ramli menjelaskan penglibatan beberapa Ngo Terengganu yang berkumpul pada Rabu 29 Mei, bukan sebuah demontrasi jalanan atau perhimpunan haram.

Sebaliknya, kata Rafizi,  perhimpunan secara aman ini sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib seorang aktivis pimpinan mahasiswa yang di penjarakan.

“Kita hari ini bukan buat demontrasi, kita bukan buat perhimpunan haram tetapi kita berkumpul hari ini sebagai tanda solidariti kita dan sokongan kita terhadap nasib Safwan Anang.

“Siapa Safwan Anang?..beliau adalah rakyat Terengganu, beliau bekas pimpinan Mahasiswa, beliau jawatankuasa ‘R’ Terengganu, beliau terlibat dalam aktivis SAMM Terengganu dan beliau pejuang demokrasi di Negara ini,” ujarnya ketika berucap pada Perhimpunan Solidariti Safwan Anang di hadapan Pasaraya Giant, Kuala Terengganu, petang semalam.

Sementara itu, Setiausaha Kerja R Terengganu, Syed Husain Solahuddin Syed Hassan menyeru di kalangan anak muda serta rakyat yang prihatin agar sama-sama bersolidariti membela Safwan Anang.

Menurutnya, nama Safwan Anang sebagai lambang perjuangan dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menuntut hak serta demokrasi yang bersih.

Beliau turut menyampaikan mesej pesanan dari aktivis mahasiswa tersebut yang mengambil tindakan menolak tawaran ikat jamin terhadapnya.

“Pertama, penahanan dan dakwaan ini bermotifkan politik. Tindakan saya (Safwan) ini sebagai protes dan memberi signal penolakan terhadap salahguna kuasa untuk kepentingan hayat Umno BN.

“Kedua, tindakan saya (Safwan) juga demi sayangkan negara dan ingin pulihkan demokrasi yang makin tenat.

“Dan ketiga, ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya (Safwan) di dalam (penjara) tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit berjuang lawan penipuan!,” jelasnya ketia membaca mesej tersebut.

Kata Syed Husain, aktivis Safwan sanggup berada di Penjara Sungai Buloh dalam keadaan isterinya, Puan Masturah Abu Bakar sedang sarat mengandung.

Manakala, Timbalan Presiden Gate Terengganu, Encik Jefri Chua berkata rakyat Malaysia yang prihatin serta cintakan demokrasi tulin wajar menyokong solidariti ini.

Ini kerana, kata beliau, demokrasi perlu diselamatkan dari anasir ‘pencabulan’ oleh segelintir pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang rakus.

“Ini (solidariti) bukan perkauman, ini menuntut hak demokrasi yang bersih. Demokrasi perlu diselamatkan dari anasir pencabulan oleh pemimpin Umno-BN yang berkuasa.

“Sesiapa sahaja yang prihatin dan cintakan demokrasi tulin mesti bersama menyokong solidariti ini,” tegasnya kepada Harakah.

Pada perhimpunan solidariti itu beberapa sepanduk dipamerkan kepada orang ramai antaranya “Safwan, You’ll Never Walk Alone!” dan “We Ar All, Safwang Anang” dan pengguna jalan raya yang melalui lokasi tersebut turut membunyikan hon kenderaan sebagai tanda sokongannya.

Ulasan