PAS Akan Bawa Kes Pasar Payang ke Parlimen dan Dun Terengganu

http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/sidang%20media%20PR%20Pasar%20payang.jpgKUALA TERENGGANU - PAS dan Pakatan Rakyat (PR) akan membawa isu Pasar Besar Kedai Payang ke peringkat Parlimen dan mengecam tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) mahu merobohkan pasar itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu minggu depan

Penegasan itu menunjukkan komitmen PAS dan PR yang bersungguh, mempertahankan kewujudan pasar 'warisan sejarah' negeri Terengganu yang berusia hampir 100 tahun itu, habis-habisan.

Perkara tersebut dinyatakan dalam sidang media bersama yang dihadiri oleh Pengerusi Jawatakuasa Bertindak Pasar Payang Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah, Penolong Setiausaha Agong PAS  Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Muhamad, di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di Pusat Niaga Paya Keladi, dekat sini,

Menurut Raja Bahri yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, PAS dan PR akan meneruskan usaha mengumpul 'tandatangan bantahan' rakyat, sebanyak mungkin, yang tidak bersetuju dengan pembinaan bangunan baru daitas tapak asar tersebut.

Katanya, beliau akan membawa isu tersebut ke peringkat nasional termasuk mengadu kepada menteri berkenaan dengan pembangunan pasar terbabit.

Sehubungan itu, Syed Azman yang juga Adun Batu Burok akan mengemukakan usul khas ke dalam Sidang DUN yang bermula 16 Jun depan bagi membincangkan tindakan yang diterajui Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

“Kita ada berbagai tindakan selain dari NGO, PAS sendiri akan bawa usul khas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, minggu depan khusus mengenai Pasar Payang ini dan kita juga akan meneruskan kumpul tandatangan rakyat hingga ke seluruh negara dan termasuk rakyat Terengganu yang ada di luar negara.

“Kita (PAS) juga akan bawa usul ke Parlimen dan berjumpa dengan Menteri yang berkenaan. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, kita (PAS) akan beri  hujah-hujah yang rasional,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu bertegas mahu meneruskan membina Pasar Payang baru dan meroboh pasar yang asal dibantah oleh banyak pihak, sangat beremosi dengan ‘mengugut’ para peniaga yang membantahnya.

“Kita (Pakatan Rakyat) lebih memberikan (keutamaan) kepada politik baru yang rasional, dengan ada dialog terbuka, ada pemikiran pimpinan politik yang waras. Dan bukan hanya dengan ugut, bukan dengan emosi.

“Bila (rakyat) tidak setuju sahaja hendak ‘halau’ dan sebagainya. Kita, Pakatan Rakyat tidak begitu kerana kita mahukan penyelesaian terbaik untuk rakyat Terengganu,” ujarnya.

Ulasan