PAS Yakin ‘Menang’ Dua Petisyen PRU13

http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/petisyen.jpgKUALA TERENGGANU - Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata PAS Terengganu telah mengemukakan dua petisyen pilihan raya iaitu bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Besut dan Kuala Berang.

Katanya, pihak Lajnah Guaman PAS Terengganu telah pun memfailkan dua petisyen tersebut berasaskan salah laku rasuah oleh calon bertanding dalam pilihan raya.

“Kita (PAS) telah putuskan untuk kemukakan petisyen dua kawasan pilihan raya iaitu di Dun Hulu Besut dan Dun Kuala Berang. Pihak guaman kita (PAS) telah pun memfailkan petisyen pilihan raya kepada pihak berkenaan (mahkamah) pada kelmarin (Ahad).

“Kita (PAS) telah selesai dan kedua-dua petisyen ini, kita kemukakan asas utama kita ialah rasuah dalam pilihan raya. Sebenarnya, banyak perkara-perkara yang dikaitkan dengan salah laku, kesalahan Akta Pilihan raya dan sogokan kewangan oleh calon (BN).

“Kita harap kita (PAS) akan menang kes ini. Walau pun, kita (PAS) hantar dua petisyen sahaja tetapi ianya mewakili (kes) yang lain. Sebab, sekurang-kurangnya kita (Pakatan Rakyat) boleh mendedahkan salah laku yang berlaku masa pilihan raya baru-baru ini,” tegasnya pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, semalam Isnin 10 Jun. [Lihat Video]
Sehubungan itu beliau menaruh harapan ‘menang’ dua petisyen pilihan rayanya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Menurutnya, keputusan parti memfailkan petisyen di kedua-dua kawasan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Harian PAS Terengganu berdasarkan kekuatan bukti dan saksi untuk dibawa ke mahkamah.

Mengulas lanjut berkaitan peluang bagi kedua-dua petisyen terbabit kata Yahaya, pihaknya yakin mampu membawa kemenangan tersebut.

“Ini (petisyen) hasil dari kajian kita (PAS) sendiri. Kita ada satu ‘team’ Lajnah Guaman PAS Terengganu yang diberi tanggungjawab turun ke setiap kawasan pilihan raya, dan bertemu dengan jentera parti di peringkat bawah untuk mendapat seberapa banyak bukti yang menjadi asas kepada petisyen ini,” ujarnya.

Petisyen pilihan raya tersebut dikelolakan oleh pasukan Lajnah Guaman PAS Terengganu yang difailkan melalui Tetuan Wan Mutalib  & Co bagi Dun Hulu Besut dan Fariz Halim & Co untuk Dun Kuala Berang.

Ia juga melibatkan kumpulan guaman PAS seperti mantan Ketua Hakim Negara, Tun Dr Salleh Abas, bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong, Abdul Haris Malik, Fariz Irwan Mustaffa, Saifuddin, Azwan dan Mohd Zabidi.

Petisyen Dun N4 Hulu Besut, calon PAS iaitu Shalahuddin Jaafar mendapat 6,314 undi tewas kepada calon BN, Nawi Mohamad (7,884) undi dengan kelebihan majoriti 1,570 undi.

Manakala, bagi Dun N23 Kuala Berang, calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid pula mendapat sebanyak 6,468 undi dan calon BN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang mendapat 6,917 undi dengan kelebihan majoriti 449 undi.

Pada PRU13 lalu, Umno-Barisan Nasional (BN) Terengganu berjaya membentuk semula kerajaan negeri dengan 17 kerusi Dun dan PAS-Pakatan Rakyat pula memperolehi 15 kerusi Dun Terengganu.

Ulasan